Perak: PAS tidak akan biar DAP kembali berkuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS diyakini meletakkan kepentingan Islam sebagai keutamaan serta sentiasa mengharap parti lain yang menjadi rakan politiknya untuk turut mendukung atau setidak-tidak menghormati agama ini.

Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi percaya bahawa partinya teguh menjunjung ketinggian Islam, sedang pengalaman semasa berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah menyaksikan Islam dicabar dan tercabar.

Beliau mengingatkan supaya pemimpin Melayu-Islam walau apapun krisis yang berlaku agar jangan membenarkan DAP kembali semula ke tampuk kuasa.

- Advertisement -

Kerana imbasnya, pengalaman 22 bulan kekuasaan DAP di Malaysia sangat pahit untuk diterima oleh orang Melayu-Islam dan Bumiputera baik yang Islam mahupun bukan-Islam.

“Harus juga difahami bahawa, apabila kita bercakap mengenai kekuasaan Islam, kita sangat meyakini bahawa kuasa Islam tidak menjadi lesen untuk mengkhianati penganut agama lain, atau bangsa lain.

“Bahkan menjadi tanggungjawab pemimpin Islam memberi hak kepada yang berhak walaupun mereka bukan seagama dan bukan sebangsa. Kebertanggungjawaban ini ditentukan oleh agama, yakni Islam.

“Maknanya apabila Islam berkuasa, semua pihak mendapat haknya berdasarkan Perlembagaan Negara dan persetujuan yang telah dipersetujui terdahulu,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Menyentuh mengenai kerajaan baharu Perak yang bakal dibentuk beliau meyakini bahawa PAS akan terus memainkan peranan agar DAP yang sangat rasis tidak kembali ke tampuk kekuasaan.

“Kenyataan bahawa PAS tidak menyertai kerajaan, tidak bermakna PAS tidak boleh menyokong kerajaan. PAS boleh menyokong atau mesra kerajaan, cuma tidak menganggotai anggota pentadbiran, dalam kata lain tidak menjadi EXCO.

“Kalau itu boleh menghalang parti yang sangat rakus kembali mentadbir negeri Perak dan menatijahkan kerugian kepada orang Melayu Islam. PAS tidak pernah mengejar jawatan-jawatan itu.

“Kita hanya mengambil tanggungjawab demi kebaikan orang Islam dan Melayu, bahkan juga kepada orang bukan-Islam, apabila keadilan Islam dapat dilaksanakan sebaiknya,” ujar Ahli Parlimen Tumpat ini. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -