Jangan pecahkan kami!

- Advertisement -

SEBAGAI anak muda, gambar ini amat bernilai sekali. Bukan sekadar bernilai dari segi gambarnya, namun bernilai dari segi hasil dan kesannya. Sudah terlalu lama kita berantakkan. Kami mahukan perpaduan. Tahniah pimpinan kami. Anda bertiga ada pencetus perpaduan.

Alhamdulillah, kita rasa amat bersyukur bahawa Malaysia telah dikenali di mata dunia sebagai sebuah Negara Islam yang sedang pesat membangun, aman dan berjaya. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat Antarabangsa.

Tambah unik, Malaysia sebagai sebuah Negara Islam mempunyai pelbagai penduduk yang berbeza bangsa, kaum, kepercayaan dan pegangan agama, dapat hidup rukun dan damai, tidak seperti sebahagian penduduk di negara-negara lain yang sering berbalah, bertikai dan bermusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama.

- Advertisement -

Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji dengan serangan dan penjajahan oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris diikuti pula zaman Darurat 1948, ancaman konfrontasi 1963-1965 dan pergaduhan antara kaum pada 1969 sehingga menjejaskan keharmonian hidup.

Umumnya, segala bentuk, rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh rakyat sejak dahulu demi memelihara tanah air tercinta. Oleh itu, selepas merdeka pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi semangat kemerdekaan dan memajukan Malaysia.

Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Jagalah perpaduan ini, anak muda sudah muak dengan politiking yang hanya mementingkan tembolok dan kuasa sahaja. Ketepikanlah rasa keperibadian, ketepikanlah kuasa sendiri, ketepikanlah perut sendiri.

Berjiwa besarlah, berlapang dadalah, demi kesatuan, demi perpaduan, demi kita.

USTAZ AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -