JAKIM dirujuk dalam perolehan Vaksin Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dirujuk dalam proses memperoleh akses vaksin bagi wabak berjangkit Covid-19.

JAKIM bahkan berada di dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang dipengerusikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim, tindakan itu diambil bagi memastikan umat Islam memperoleh kefahaman yang jelas berhubung keharusan vaksin yang diperoleh dari aspek hukum syarak.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas cadangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah agar pihak berkuasa agama dirujuk dalam perolehan vaksin Covid-19, dalam satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengeluarkan berbagai pandangan hukum berkaitan vaksin dan imunisasi yang menjadi panduan seluruh umat Islam sejak tahun 1988.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan memantau penggunaan vaksin yang dibangunkan syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech, secara darurat di Britain seawal minggu depan.

Malaysia akan melihat keberkesanan dan kesan samping penggunaan vaksin itu di Britain selepas ia menjadi negara pertama memberikan kelulusan terhadap vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech.

Penggunaan vaksin secara darurat di Britain adalah susulan pengumuman kerajaannya menerima cadangan Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin Covid-19 Pfizer-BioTech.- HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -