Sawit Anugerah Tuhan: Tuduhan Hanipa disanggah

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

SAYA jarang dan memang tidak gemar untuk menulis menyerang individu tertentu atas dasar politik atau atas alasan apa sekali pun.

Walau bagaimanapun ucapan Ahli Parlimen Sepang, YB Mohamed Hanipa Maidin di Parlimen yang mengatakan bahawa menukar slogan ‘Sayangi Sawitku’ kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’ membahayakan negara, sangat mengejutkan bukan sahaja saya tetapi rakyat Malaysia amnya terutama mereka yang telah lama berada di dalam industri perladangan sawit.

Negara Indonesia jauh lebih awal mempromosikan slogan ‘Sawit adalah anugerah Tuhan Yang Maha Esa bagi Indonesia’.

Pemain utama industri amat maklum, harga purata sawit rendah pada tahun 2018 dan 2019 bukanlah akibat bahaya yang timbul apabila Indonesia memperkenalkan slogan ‘Sawit adalah anugerah Tuhan Yang Maha Esa bagi Indonesia’.

Dunia maklum bahawa usaha Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat yang cuba memburukkan dan memboikot minyak sawit Malaysia dan Indonesia bukanlah disebabkan perkataan ‘tuhan’ yg diguna dalam slogan Indonesia.

- Advertisement -

Tetapi ianya lebih bersifat Market Competitor atau persaingan pasaran antara minyak soya, minyak bunga matahari dan rapeseed keluaran Barat terhadap minyak sawit tropika.

Minyak sawit menguasai 30 peratus daripada pasaran minyak dan lemak dunia diikuti oleh minyak soya 20 peratus, rapeseed 13 peratus, bunga matahari lapan peratus dan lain-lain minyak sebanyak 24 peratus.

Sementara itu, Indonesia dan Malaysia menguasai 80 peratus daripada pasaran minyak sawit dunia yang berjumlah sekitar 70 juta metrik tan setahun.

Sekian lama walau pun Menteri Perladangan dan Industri bertukar ganti, namun isu yang dimainkan oleh Barat terhadap minyak sawit adalah berkisar soal kemusnahan alam sekitar flora dan fauna, soal tenaga kerja dan kemanusiaan.

Amat mendukacitakan seorang Ahli Parlimen yang berstatus peguam tidak membuat ‘homework‘ sebelum berbahas dan mengeluarkan hujah di Parlimen yang akhirnya menampakan kebodohan beliau dan menyerlahkan alergi beliau terhadap istilah ‘tuhan’ dan syariah.

Dunia Barat tidak pernah mempersoalkan slogan Indonesia sama ada ‘patuh syariah’ atau tidak. Tetapi mereka bersama-sama NGO antarabangsa menuding jari soal kebakaran hutan, kemusnahan hutan tropika yang menjadi paru-paru dunia serta pemanasan global, dan kesan rumah hijau (GHC), buruh kanak-kanak, buruh paksa dan sebagainya.

Wujudnya badan- badan sertifikasi seperti RSPO, ISPO dan MSPO sebagai mekanisma bagi menangani segala permasalah bagi menjadikan industri sawit sebagai industri yang lestari merupakan langkah bijak dalam berhadapan dengan segala pertuduhan dari Barat yang menjadi pesaing kepada minyak sawit.

Oleh itu tuduhan yang mengatakan Slogan Sawit Anugerah Tuhan membahayakan negara merupakan suatu tuduhan tidak masuk akal, kebudak-budakan serta dangkal tanpa asas dan fakta. Akhirnya ianya menjadi senjata makan tuan yang memperlihatkan betapa kentalnya kesetiaan mantan peguam PAS tersebut terhadap mantan Menteri Perladangan dan Komoditi daripada Parti DAP.

Rakyat Malaysia khususnya pekebun kecil sawit yang berjumlah 640,000 orang serta peneroka Felda yang berjumlah 112,00 orang maklum bahawa ‘Sayangi Sawitku’ tidak memberi impak kepada kenaikkan harga sawit setelah dilancarkan di Pulau Carrey di zaman kerajaan PH. Kerja keras Menteri Perladangan waktu itu berkempen agar rakyat Malaysia meminum satu sudu minyak sawit merah tidak membuahkan hasil kepada bertambahnya permintaan minyak sawit dan naiknya harga buah sawit.

Kita harus akui bahawa sawit adalah anugerah tuhan. Sawit bukanlah berasal dari Malaysia mahu pun Indonesia. Sebaliknya ia berasal dari Afrika Tengah, benihnya dibawa ke Malaysia dan Indonesia pada awalnya sebagai tanaman landskap tetapi dapat hidup subur menjadi tanaman kormesil yang akhirnya memberikan nikmat kehidupan dan rezeki daripada Allah kepada lebih sejuta orang penduduk di Malaysia.

Penulis adalah Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Palm Oil Board (MPOB) dan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -