Kerajaan setuju kaji kebenaran keluar akaun 1 KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dan bersedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat yang berdepan kesusahan dan benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung cadangan berkenaan.

“Reaksi awal kita, supaya jangan sentuh perkara itu…(KWSP) mungkin bajet (Belanjawan 2021) nanti ada pemberian bantuan yang kerajaan akan sampaikan. Kalau itu memadai tidak perlu keluarkan simpanan Akaun 1.

- Advertisement -

“Kita akan teliti secara halus (perkara ini) dan melihat keadaan kumpulan tertentu yang dianggap teruk terjejas, contohnya mereka yang dibuang kerja.

“Kumpulan tersasar ini akan difikirkan. Tunggulah pengumuman yang akan dibuat Menteri Kewangan nanti,” katanya pada Wawancara Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

Katanya, kerajaan sebelum ini telahpun melaksanakan beberapa kelonggaran berhubung KWSP termasuk membenarkan caruman pekerja dikurangkan daripada 11 peratus daripada tujuh peratus dan pengeluaran menerusi i-Lestari yang mana pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh masa 12 bulan daripada Akaun 2.

Berkata Muhyiddin, selepas kelonggaran itu diberikan, hampir 70 peratus pencarum KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna membolehkan pencarum berbelanja, membabitkan jumlah hampir RM700 juta sebulan. – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -