‘Tidak sesuai usik rumah sudah siap’ – Nik Amar

Dato' Mohd Amar Abdullah melawat Pameran 3 Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Muzium Kelantan. Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: PAS mengakui ada pemimpin Umno Kelantan yang berkebolehan dan sesuai dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun kata Timbalan Menteri Besar, pelantikan itu tidak dibuat sekarang bukan bererti kerajaan negeri tidak ambil mengambil kira peranan dan sumbangan Umno.

“Memang ada yang bagus dalam Umno, saya sedar, tapi sekarang bukan masanya,” kata Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Menurutnya, bukan mudah untuk mengubah struktur kerajaan sedia ada.

Advertisement

“Memang ada orang cadangkan, tetapi saya memberitahu secara terus-terang setakat ini tidak ada rombakan baru. Kita tunggulah selepas PRU-15,” ujarnya selepas melawat Pameran 3 Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Muzium Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya juga, keadaan berbeza dengan Kedah, Perak dan negeri-negeri lain di mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) muncul kemudian selepas berlangsung PRU 14.

Kata beliau juga, PAS menolak tawaran pelantikan sebagai anggota Exco di Perlis dan Pahang kerana tidak mahu mengusik rumah yang sudah siap. – HARAKAHDAILY 3/11/2020