Ketelitian YDPA, Raja-raja stabilkan negara

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih atas kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta Raja-raja Melayu atas keputusan dalam menyelesaikan kemelut politik negara yang berlaku pada hari ini.

Pemuda PAS percaya bahawa segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan yang amat cermat dan teliti oleh SPB Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu, selepas mengambil kira segala faktor dan pendapat. Adalah menjadi tanggungjawab KDYMM serta sekalian Raja-raja dalam memastikan kestabilan negara ini sentiasa terjamin. 

Pada masa yang sama, Pemuda PAS mendukung saranan KDYMM Tuanku supaya semua ahli politik berhenti bermain politik di saat negara sedang diancam pandemik yang berbahaya. Segala tindakan politiking yang dibuat demi merampas kuasa adalah suatu perbuatan tercela dan membelakangi keputusan Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu serta kepentingan rakyat.

- Advertisement -

Pemuda PAS mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan mendukung usaha kerajaan dalam menangani wabak COVID-19. Marilah kita ketepikan sentimen politik, serta bersatu hati demi negara yang tercinta. Sama-sama kita berdoa agar Malaysia terus aman damai dan dipelihara Allah.

Sekian.

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -