Beruntung dapat mendampingi TGHH

- Advertisement -

SIAPA yang tidak ingin mendampingi-nya? Bukan untuk kekayaan, kerana dia bukanlah hartawan. Bukan untuk pangkat dan kedudukan kerana dia sendiri tidak meminta-minta jawatan dan mengingatkan ahlinya agar tidak meminta jawatan kecuali jawatan itu menjadi keperluan untuk dakwah dan perjuangan. Ingin mendampingi-nya agar mendapat suntikan perjuangan. Ingin sesekali bersendirian dengannya untuk meminta darinya nasihat rohani dan peribadi, supaya dapat disematkan dalam hati sebagai mutiara terindah agar istiqamah dalam menyelusuri ranjau perjuangan.

Berpeluang bersahabat rapat dengan anakandanya pun sudah satu nikmat. Mendengar warisan ilmu geopolitik dan sejarah Islam yang sama. Sesekali terkeluar gelak ketawa yang hampir sama. Ada ketika terasa cemburu. Namun dalam satu pengisian, anakandanya berkongsi cerita bahawa ayahandanya pernah ditanya bagaimana dia mendidik anak-anaknya… ayahnya menjawab, dia menganggap para Pemuda PAS semua adalah seperti anak-anaknya…

- Advertisement -

Sebab itu sewaktu kami pemuda dahulu, berpeluang berkongsi satu slot santai bersamanya dalam satu retreat... dia berkongsi banyak sejarah dan pengalaman hidupnya… untuk menjadi motivasi dan pengajaran buat kami… masih terbayang tawa riangnya… senyum manisnya… pada kami anak-anaknya sepanjang sesi tersebut…

Catatan ini bukanlah taksub, akan tetapi penghayatan makna thiqah dalam arkanul baiah. Pemimpin kepada kami adalah umpama bapa dari sudut hubungan kasih sayang, seperti guru Mursyid atau Sheikh kepada anak murid dari sudut keilmuan dan seumpama jeneral kepada para tenteranya dari sudut kerja organisasi. Pemimpin bagi kami dalam jamaah, menghimpunkan seluruh makna-makna tersebut.

Sanah helwah Ayohchik, DS TG Haji Abdul Hadi Awang. Semoga Allah memberkati umurmu…

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -