MBI: Dari dekad ke dekad

21 OKTOBER 1990 telah mencipta sejarah bagi umat Islam di negara ini, khususnya di Kelantan apabila PAS sebagai sebuah gerakan Islam berjaya memerintah sebuah kerajaan negeri melalui jalan demokrasi. Ketika ini, PAS mengemukakan manifesto bertema ‘Membangun Bersama Islam’ sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia bagi menangani kebobrokan politik negara di bawah rejim Dr Mahathir Mohamad. Keadaan politik menjadi begitu tegang ekoran tekanan yang dilakukan ke atas rakyat seperti pembunuhan politik di Lubuk Merbau, tragedi Memali, penyalahgunaan ISA dalam beberapa operasi termasuk Ops Lalang dan Ops Kenari, krisis Perlembagaan melibatkan Raja-raja dan lain-lain lagi.

Pergolakan dalaman BN telah menyebabkan Umno diharamkan pada 1988. PAS mengambil kesempatan daripada keresahan rakyat, perpecahan Umno, pergolakan Umno dengan Istana Kelantan dan isu-isu politik semasa ketika itu untuk mengadakan muafakat politik bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan, tetapi selalu disebut oleh para penulis sebagai APU). Angkatan adalah asalnya kerjasama politik tajaan Berjasa, melibatkan Hamim dan serpihan Umno, Semangat 46 (S46), sebelum disertai juga oleh KIMMA. PAS mengambil langkah mengadakan persefahaman politik (tafahum siyasi) dengan Angkatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990.

Advertisement

Hasil persefahaman PAS-Angkatan ini, tidak berlaku pertembungan sesama sendiri di kalangan parti-parti pembangkang untuk menghadapi Umno yang baru berpecah. Pakatan PAS-Angkatan telah berjaya menyapu bersih 39 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Kelantan, sekali gus menumbangkan Kerajaan BN yang dipimpin oleh Tan Sri Mohamed Yaacob sejak 11 Mac 1978. Kejayaan ini telah membolehkan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990. Ia menandakan permulaan serentak dua model pentadbiran – dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan implementasi kepemimpinan  ulamak dalam pemerintahan. Teras kepada model pentadbiran ini ialah konsep UMI – ubudiyah, mas’uliyah dan itqan.

MBI melalui dekad pertama, 1990-2000: Pembaharuan berasaskan Islam

Sebaik sahaja menguasai Kerajaan Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memperkenalkan pelbagai bentuk pembaharuan dalam pentadbiran berasaskan Islam. Pembaharuan ini bermula dalam hal-hal kecil dalam pentadbiran seperti membuka majlis dengan al-Fatihah sehingga kepada hal urusan kewangan kerajaan seperti memindahkan simpanan tetap kerajaan ke Bank Islam. Pembaharuan yang melibatkan kakitangan kerajaan seperti pinjaman tanpa riba hingga kebajikan rakyat seperti menubuhkan Pusat Rawatan an-Nisa.’ Kerajaan turut memperkenalkan cuti dua hari seminggu, rumah tiga bilik, cuti bersalin dua bulan dan sebagainya untuk meningkatkan kebajikan kepada rakyat. 

Tidak sedikit tekanan, kritikan dan cacian yang dihadapi oleh Kerajaan Kelantan dalam memulakan pembaharuan ini. Bahkan, Kerajaan Kelantan turut menerima ugutan ketika berusaha melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah atau lebih popular dengan sebutan sebagai ‘Hukum Hudud’ pada 1993. Langkah Kerajaan Kelantan menghapuskan rasuah, judi dan riba, mengawal hiburan dan arak, serta menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ini adalah langkah-langkah untuk mencegah kemungkaran. Sedangkan bagi menggalakkan yang makruf pula, telah ditubuhkan Maahad ad-Dakwah wa al-Imamah, Maahad Tahfiz wa al-Qiraat, mewujudkan Desa Taqwa dan sebagainya. Kerajaan Kelantan telah mengambil pendekatan membina insan dengan terapan takwa sebagai langkah mewujudkan sebuah negeri yang membangun dengan Islam.

MBI melalui dekad kedua, 2000-2010: Pengukuhan dasar Islam

Dekad kedua dilalui dengan warna yang berbeza. Pertama, kejayaan besar PAS dalam mempertahankan Kelantan ekoran pergolakan politik 1998-1999. Kedua, ombak perubahan politik kerana perubahan rejim Pusat telah menyebabkan PAS memimpin Kelantan dengan majoriti tipis – satu kerusi sahaja – selepas 2004. Melalui dekad ini dengan dua wajah, memerlukan tindakan-tindakan politik yang lebih mampan, khususnya ketika kerajaan tersepit di celah kemerosotan populariti di mata rakyat selepas 2004 dan saat berlakunya persaingan politik dalaman kerana merebut kedudukan untuk menggantikan Sang Murabbi yang sudah berada di ambang senja di dalam perjuangan.

Langkah besar yang diambil oleh Kerajaan Kelantan, bukan secara individu tokoh tertentu, tetapi sebagai sebuah pasukan adalah mengukuhkan dasar MBI yang telah berjalan. Pada tahap pengukuhan ini, dasar-dasar baru telah diperkenalkan supaya terbentuk garis-garis panduan dalam semua urusan. Dasar-dasar utama kerajaan dibukukan untuk rujukan, di samping mewujudkan dasar-dasar baru melibatkan wanita, keluarga, belia,  hiburan dan lain-lain, yang telah digubal sebagai cerakinan terhadap dasar MBI yang telah dirangkakan sebelumnya. Pembentukan dasar-dasar ini merupakan kayu ukur sebenar terhadap langkah kerajaan dalam memperkukuhkan dasar MBI.

Antara dasar-dasar yang diwujudkan pada era ini termasuklah Dasar Belia Negeri Kelantan, Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan, Dasar Pencegahan Gejala Sosial Negeri Kelantan, Dasar Pendidikan Negeri Kelantan, Dasar Pelancongan Negeri Kelantan, Dasar Wanita Negeri Kelantan, Dasar Pertanian Negeri Kelantan dan lain-lain. Yang paling penting sekali, dokumen dasar MBI juga berjaya digubal pada 2005 dan diluluskan oleh kerajaan pada 2006, selain Pelan Pembangunan Strategik Negeri Kelantan 2000-2010 yang menyasarkan pertumbuhan kukuh ekonomi negeri.

Selain dasar-dasar, pengukuhan ini juga berlaku melalui pelaksanaan program-program kerajaan yang melibatkan pemerkasaan Islam, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat. Bagi tujuan jangka panjang pemerkasaan Islam, falsafah pendidikan yang diterapkan melalui YIK mempunyai sasaran untuk melahirkan generasi rabbani pada masa depan bagi mendukung pelaksanaan Syariat Islam. Sekolah-sekolah berprestasi tinggi atau maahad kawalan YIK dan KIAS menjadi pemacu utama sasaran ini. Sedangkan program-program pembangunan ekonomi melibatkan pusat-pusat pertumbuhan baru seperti Lembah Sireh, Bandar Baru Tunjung, Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, Bandar Baru Pasir Mas dan Bandar Baru Loging telah diwujudkan sebagai projek fizikal, selain Lebuh Raya Rakyat. Dalam konteks kebajikan rakyat, diwujudkan pula Takaful Armalah, Ladang Rakyat, Gerbang az-Ziwaj dan lain-lain.

MBI melalui dekad ketiga, 2010-2020: Merakyatkan dasarkan kerajaan

Tempoh dua dekad yang dilalui oleh rakyat Kelantan di dalam menikmati dasar-dasar pentadbiran dan pembangunan Islam, sebenarnya belum memadai untuk membolehkan rakyat lapisan terbawah memahami dan menghayati dasar MBI. Dalam tahap ini juga berlaku perubahan kepemimpinan pada 2013 ekoran pengunduran Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sebagai ketua kerajaan dan digantikan oleh Ustaz Dato’ Ahmad Yakob. Secara kebetulan, PAS diuji dengan perpecahan parti pada 2015, sedangkan sebelumnya Kelantan diuji dengan banjir besar pada 2014. Dalam menghadapi ujian inilah, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob menekankan konsep Merakyatkan MBI.

Pembaharuan dibuat dengan memberi fokus untuk menyerapkan MBI di dalam kehidupan rakyat, khususnya melalui pemantauan pentadbiran dan pembugaran pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam pentadbiran. Untuk hal ini, telah ditubuhkan SPARK dan IPTG bagi membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Beberapa konsep pentadbiran yang baru telah dikemukakan untuk menambahkan keberkesanan dasar kerajaan seperti Kelantan Melangkah ke Hadapan dan Kelantan Sejahtera Untuk Islam. Dalam hal ini, Kerajaan Kelantan menyusun strategi pembangunan menyeluruh melibatkan prinsip 3K – Kebajikan, Kemakmuran dan Keberkatan.

Pada prinsipnya, Kerajaan Kelantan pada tahap ini telah meneruskan semua dasar dan program yang dibina sejak 1990, tetapi membuat penambahbaikan dan penyusunan semula program-program tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya. Sebagai contoh, kerajaan telah menaiktarafkan Qaryah Ramadhan kepada Madinah Ramadhan dalam konteks menghidupkan bulan mulia itu. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Pendidikan Rabbani, selain mewujudkan Unit Pembangunan Islam di semua kerajaan tempatan. Turut mendapat perhatian ialah Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang telah dipinda dan diperkemaskan prosedur pelaksanaannya.

MBI melangkah ke dekad keempat, 2020-2030: Mewujudkan model negara ideal

Memasuki 10 yang keempat dalam rangka memperkasakan penerapan pentadbiran dan pemerintahan Islam adalah suatu cabaran besar kepada kepemimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Kali ini, seluruh generasi muda yang berumur di bawah 40 tahun adalah anak-anak MBI. Mereka dilahir dan dibangunkan sepenuhnya di bawah dasar MBI. Mereka belum tercemar dengan dasar-dasar Sekular yang diterapkan di negeri lain. Apakah pada era media sosial begitu cekap ini, Kerajaan Kelantan dapat meneruskan pelaksanaan model pentadbiran Islam yang memuaskan hati generasi baru, yang begitu bosan dengan kecamuk politik yang wujud mutakhirin ini?

Sudah tiba masanya bagi Kerajaan Kelantan untuk meningkatkan usaha mereka dalam melahirkan sebuah model ‘ideal state’ atau ‘al-madinah al-fadhilah’ di Kelantan berasaskan Islam. Konsep ini telah lama diangkat oleh al-Farabi dan Ibnu Sina dalam pemikiran falsafah politik mereka berkaitan negara idaman. Sedangkan ahli-ahli sains politik Islam seperti al-Mawardi, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Khaldun pada zaman masing-masing telah mencerakinan konsep-konsep dan hukum-hakam berkaitan politik Islam untuk diterapkan bagi mewujudkan negara idaman tersebut. Kelantan telah mempunyai asas yang kukuh setelah 30 tahun melalui proses pembinaannya. Tinggal lagi, apakah sanggup para pemimpin Kelantan melangkah gagah bagi mewujudkan negara ideal ini di Kelantan pada tahap keempat nanti.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 20/10/2020