PAS Sarawak harap MASWings semak kadar harga

Khusus laluan antara Miri, Limbang dan Lawas berikutan SOP terkini Kerajaan Brunei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sarawak mencadangkan agar pihak Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sarawak supaya meminta pihak MASWings untuk menyemak semula kadar harga bagi laluan Miri-Limbang dan Miri-Lawas.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, cadangan ini berikutan pengumuman terkini prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke sempadan oleh Kerajaan Negara Brunei.

Menurut beliau, ketetapan terbaharu bagi setiap perjalanan merentasi sempadan negara tersebut memerlukan saringan COVID-19 dilakukan di mana ia memberi implikasi kepada penduduk Sarawak.

Secara khusus jelas Arifiriazul, ianya akan melibatkan mereka yang bergerak antara tiga daerah iaitu Miri, Limbang dan Lawas kerana perlu melalui jalan darat yang terpaksa merentasi sempadan negara Brunei.

“Buat masa ini, kadar harga penerbangan laluan tersebut masih lagi agak mahal. Sekiranya kadar harga tersebut dapat disemak semula kepada lebih murah, sudah tentu ia akan memberi kelegaan kepada penduduk.

“Penduduk di tiga daerah ini boleh menjadikan laluan udara sebagai alternatif pilihan bagi perjalanan keluar daerah,” ujarnya mengharap kepada MASWings selaku operator penerbangan laluan tersebut.

Selain itu maklum beliau, implikasi daripada peraturan baharu dikuatkuasakan pihak Kerajaan Brunei itu juga telah menyebabkan pertambahan kos serta proses kelulusan rentas sempadan. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -