Media berkumpul di pintu 2 Istana Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suasana di hadapan Pintu 2 Istana Negara dilihat tenang dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Media turut berkumpul bagi melaporkan perkembangan terkini berkenaan pertemuan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Istana Negara.

- Advertisement -

Tiada perhimpunan dari penyokong Anwar dan hanya para media dan anggota polis memenuhi perkarangan di hadapan Pintu 2 Istana Negara.

Sehingga jam 9.41 pagi tadi tiada apa-apa pengumuman mahupun makluman daripada pihak istana, namun dari sumber terdekat memaklumkan Anwar dijangka tiba ke Istana Negara beberapa ketika sahaja lagi.

Minggu lalu, Anwar mengesahkan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana disebutkannya sebelum ini.

Anwar dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini pada pagi ini.

Semalam Setiausaha Agong PKR, Dato’ Seri Saifuddin Nasution meminta penyokong dan anggota parti itu tidak berhimpun di mana-mana lokasi terutama di jalan-jalan utama menuju Istana Negara. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -