Curah kasih buat si yatim yang ditinggalkan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Perasaan tiba-tiba resah, berdebar dan ingin tahu tatkala melihat satu kemalangan jalan raya rupanya mencatat sejarah duka buat Muhammad Fakhrul Rrazi Abdul Rahim, 18 dan Nur Fatiha Aina Abdullah, 7.

- Advertisement -

Bola mata dua beradik berlainan bapa ini menyaksikan sendiri sekujur tubuh yang amat dikenali terperosok parah di bawah sebuah kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia.

Ibu mereka, Siti Rohani Sapeai @ Shafie yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Gebeng, Kuantan menaiki motosikal pergi buat selamanya dalam tragedi tidak akan dapat dilupakan oleh kedua anak yatim ini.

Mengimbas kembali pada hari kejadian, Fakhrul Razi menceritakan semula tugasan dari arwah ibu tercinta untuk dia membeli bekalan nasi lemak untuk adiknya, Fatiha Aina sebelum menghantar ke sekolah.

Berkongsi cerita itu kepada rombongan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, remaja ini bernostalgia mengingati suara ibu di pagi itu yang menjadi terakhir didengarinya sebelum dia dan adiknya kehilangan arwah buat selamanya.

“Saya rasa ketika itu sudah tiada tempat untuk bergantung, kerana selama ini hanya ibu yang menyara kami dua beradik,” katanya dengan nada yang sayu ketika ditemui di rumahnya di Sungai Ular, di sini petang kelmarin.

Fatiha Aina pula yang petah dan tidak kekok bercerita menyatakan bahawa dia tidak pernah melihat wajah bapanya, malah semasa hari pengkebumian Siti Rohani juga, bapanya tidak ada bersama pada hari tersebut.

Ibu kepada Almarhumah, Ramlah Yusof 62 tahun, memaklumkan bahawa arwah bekerja sebagai tukang cuci di kilang MTBE di mana selepas habis kerja membuat kerja sampingan pula di kantin kilang berkenaan untuk menambah pendapatan keluarganya.

Hal tersebut katanya, menyebabkan Fatiha Aina lebih banyak masa duduk dengannya serta sangat rapat hingga mungkin anak itu tidak terasa sangat dengan kehilangan ibunya.

Fakhrul Razi turut teruja berkongsi cerita bahawa Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassan Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah datang menziarahi mereka pada hari Khamis lalu.

Dalam lawatan tersebut, baginda menawarkan sekiranya mereka berdua beradik memerlukan sebarang bantuan, boleh menghubungi Pembantu Khas baginda dengan nombor talian diberikan.

Selain dari itu, Pengarah ILP Kuantan, Zaid Zahari telah datang ke rumah mereka pada keesokkan harinya, setelah mendapat makluman dari baginda Pemangku Sultan bahawa Fakrul Razi berminat untuk menyambung pelajarannya di bidang kemahiran.

Muhammad Fakurazi kini telah didaftarkan sebagai pelajar di ILP dalam bidang Teknologi Elektrik pada hari yang sama.

Ketua Muslimat Indera Mahkota, Salwani Salleh yang mengetuai rombongan ziarah ini, menasihati Fakhrul Razi dan adiknya supaya menjadi anak yang soleh, selalu mendoakan ibu mereka dan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh membina masa depan cemerlang dunia dan akhirat.

Beliau telah menyerahkan sumbangan kewangan untuk dua beradik ini dalam ziarah yang turut disertai Ketua Muslimat Cawangan Sungai Ular, Sharifah Muda bersama Ahli Jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -