Sokong ADUN lantikan untuk PAS di Sabah

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengucapkan sekalung tahniah atas kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri dengan kedudukan 41 kerusi termasuk Bebas berbanding WARISAN Plus yang hanya mendapat 32 kerusi.

Kejayaan ini mungkin tidak dapat diraih tanpa permuafakatan yang utuh, semangat setiakawan di antara parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan parti tempatan yang lain seperti PBS yang sanggup berjiwa besar mengelakkan pertembungan kerusi bagi mengangkat agenda yang lebih besar iaitu menumbangkan WARISAN Plus yang terdiri dari parti WARISAN, PKR, PAN dan DAP.

Sudah tentu, kita sedia maklum bahawa antara parti yang membayar harga terlalu mahal untuk memelihara semangat setiakawan di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada kali ini ialah PAS Sabah yang sanggup tidak bertanding, berjiwa besar menyerahkan kerusi tradisi pilihan raya yang selalu ditandingi di kawasan Bumiputera Islam, seterusnya memberi laluan mudah kepada rakan permuafakatan yang lain untuk meraih kemenangan bersama.

- Advertisement -

Bahkan, lebih dari itu jentera PAS Sabah dan para Menteri Persekutuan dari PAS turut turun berkempen memberikan penerangan untuk membina keyakinan kepada masyarakat Muslim di Sabah dan pengundi-pengundi tegar PAS agar memberikan undi yang solid kepada rakan permuafakatan sebagai suatu usaha menamatkan kerosakan pemerintahan yang diterajui WARISAN Plus di Negeri Sabah.

Seperti yang kita maklumi, formula ini akhirnya membuahkan hasil dan ia menjadi pujian ramai pihak di media sosial dan diakui oleh para marhaen di Sabah. Tanpa peranan dari PAS Sabah, kemungkinan besar Gabungan Rakyat Sabah mungkin menghadapi kesukaran sepanjang PRN Sabah apatah lagi jauh sekali untuk membentuk kerajaan yang dikecapi pada hari ini.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendengar sebahagian permintaan tuntas rakan komponen dari Perikatan Nasional dan Barisan Nasional serta segmen lapisan masyarakat Bumiputera Islam di Sabah yang menyatakan PAS perlu diberi dua ADUN lantikan sebagai bukti semangat setiakawan atas jiwa besar PAS Sabah sebagai antara faktor kemenangan Gabungan Rakyat Sabah.

Maka, Dewan Pemuda PAS Malaysia amat menyokong penuh agar PAS Sabah diberi dua ADUN lantikan dalam membantu pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor daripada Perikatan Nasional. Ini pastinya akan memberi impak yang besar kepada politik nasional dalam kita menuju PRU-15 tidak lama lagi.

Sekian, terima kasih.

“Muafakat Menuju Kemenangan”

Ir. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -