SURI bantu ibu tunggal pohon ‘one-off’ PENJANA

- Advertisement -

BALIK PULAU: Pertubuhan Suri Prihatin (SURI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah mengadakan inisiatif membuka kaunter Bantuan Khas Ibu Tunggal di Astaka Pasar Awam, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Pemberian ini adalah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khusus untuk ibu tunggal di mana diberi secara ‘one-off’ kepada golongan ini yang memenuhi syarat kelayakan di seluruh daerah ini.

Pemberian sebanyak RM300 ini adalah sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu dalam menangani kesan pandemik COVID-19 ke atas negara.

Kaunter permohonan yang dibuka telah mendapat sambutan yang menggalakkan hingga pemohon yang hadir bukan sahaja dari kawasan Balik Pulau, bahkan juga dari luar kawasan tersebut telah turut mengambil peluang untuk hadir memohon.

Selain kaunter Bantuan Khas Ibu Tunggal yang dibantu sukarelawan SURI, JKM juga telah membuka kaunter untuk individu yang berkelayakan memohon sebarang bantuan lain yang ditawarkan  di bawah kendalian jabatan tersebut.

Seperti diumumkan oleh kerajaan, mereka yang layak dikehendaki memohon bantuan berkenaan di mana tarikh akhir permohonan dilanjutkan sehingga 31 Oktober tahun ini berikutan masih ramai yang belum memohon bantuan tersebut.

Justeru itu, bagi pemohon yang berkelayakan yang belum memohon bantuan berkenaan mereka boleh mendapatkan borang tersebut di Pejabat Kebajikan Masyarakat di daerah masing-masing. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -