Jangan timbulkan polemik dasar agihan kerusi

KOTA BHARU: Ahli PAS diminta tidak menimbulkan polemik di setiap peringkat mengenai ketentuan dasar mahupun soal agihan kerusi yang akan diwakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Beliau berkata perkara itu akan sentiasa dibincangkan di peringkat jawatankuasa negeri sebagai mengambil kira kebaikan setiap parti dalam Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN).

“Soal agihan kerusi, kita ada beberapa jawatankuasa. Pertama, kita ada Jawatankuasa Induk iaitu 11 orang daripada setiap parti, di bawahnya ada Jawatankuasa Teknikal meliputi lima orang setiap parti dan satu jawatankuasa yang baru kita wujud iaitu Jawatankuasa Perundingan Agihan Kerusi yang terdiri daripada lima orang daripada setiap parti.

“Dalam mesyuarat yang dibuat kali pertama, Alhamdulillah, asas-asas perbincangan itu nampak sangat positif,” katanya ketika menyampaikan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Mengenai ketentuan dasar parti, Tuan Ibrahim menyeru agar semua ahli PAS menyerahkannya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang membuat keputusan selaras dengan Perlembagaan PAS.
 
“Seperti digariskan Fasal 26 berhubung tugas dan tanggungjawab ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, antaranya Perkara 9 (F) untuk memilih dan memuktamadkan calon Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri tertakluk kepada kelulusan Majlis Syura Ulama.

“Jadi, saya fikir tentang dasar besar dan soal agihan kerusi ini, jangan timbulkan polemik di peringkat negeri atau kawasan sebab jawatankuasa akan turut membincangkannya di peringkat negeri supaya kita dapat buat keputusan dengan teratur,” katanya.

Terdahulu, muktamar berkenaan diisi dengan perbahasan yang disertai 18 perwakilan, yang antaranya menyaksikan Dewan Pemuda PAS membangkitkan isu berkenaan dasar parti serta pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam ucapan penggulungannya pada muktamar itu berkata PAS sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dalam perjuangan seperti yang diasaskan pucuk pimpinan terdahulu semasa menubuhkan parti.

Beliau menegaskan prinsip yang dipegang oleh parti memperjuangkan Islam itu akan dibawa sehingga ke akhir perjuangan parti. – BERNAMA