PAS tetap kuat dan utuh, bukan ‘hotel persinggahan’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tetap kuat dan utuh, walaupun diuji dengan pebagai cabaran termasuk pernah dikhianati mereka yang dahulunya bersama parti itu.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menjelaskan PAS bukanlah sebagai ‘hotel persinggahan’ dan bila melihat PAS sedikit tergugat, mereka meninggalkan parti itu demi mengejar sesuatu yang kononnya menguntungkan mereka.

“Mereka jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ kerana mereka mahukan kemenangan mudah, tetapi PAS dengan perjuangan Islam tetap utuh, dan tidak pernah jatuh.

“PAS cukup matang dalam berpolitik, kerana kita pernah ‘bertahaluf’ dengan banyak parti sejak dahulu dan walaupun meninggalkan dan ditinggalkan mereka, kita tetap istiqamah dan terus matang,” katanya dalam ucapan penggulungan presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-66, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Muktamar itu berlangsung sehari bermula pagi tadi, dalam keadaan normal baharu dengan kehadiran kira-kira 400 perwakilan, sebagai mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi membendung penularan wabak COVID-19.
 
Abdul Hadi mengambil contoh ketika Pilihan Raya Umum 1990, PAS bertahaluf dengan Semangat 46 dan menang di Kelantan, dan kemudiannya parti itu dibubarkan, namun PAS tetap teguh di negeri berkenaan sehinggalah sekarang.

“Kerana perjuangan kita yang istiqamah inilah, kita tetap berdiri dan akhirnya kita merampas Terengganu dan juga bersama Perikatan Nasional di Kedah,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan terus menerangkan kepada rakyat di negara ini mengenai perjuangan parti itu, agar rakyat terutama bukan Islam dapat memahami keadaan tersebut dan bukannya membuat tafsiran, yang kononnya Islam adalah kolot.

“Pendekatan ini memerlukan masa dan ia sangat mencabar. Ia agar mereka benar-benar memahaminya,” kata beliau. – BERNAMA

- Advertisement -