Politik ‘dam aji’

- Advertisement -

PERMAINAN dalam politik ni, sama macam permainan ‘dam aji’. Perkiraaannya siapa yang dulu buat gerakan yang akan boleh beri tekanan kepada lawan untuk ikut rentak permainan dia.

- Advertisement -

Gerakan hampir sama daripada zaman dahulu sehingga sekarang. Atas 64 petak dengan 12 biji buah, masing-masing membuat strategi bagi mengalahkan lawan. Bergantung kepada kecepatan mengatur gerak, maka keputusan boleh bertukar.

Bagi yang cukup mahir, setelah berlangsung tiga atau empat gerakan, mereka sudah dapat menghidu dia akan menang atau kalah, menganalisis keadaan lawan dan kedudukannya. Bagaimana mahu mengelak tipu helah lawan dengan bijak.

Istilah ‘buta’ iaitu dia kalah tanpa dapat mencapai melepasi ‘aji’, kalah biasa atau seri perlu dia usahakan supaya dapat menukar keadaan itu kepada kemenangan kepada pihaknya.

Tetapi bagi pemain juga bukan calang-calang, apatah lagi lawan yang sememangnya sudah berpuluh tahun bergelumang bersama, maka akan ada masalah besar. Jadi gerakan dia kita tahu, gerakan kita pun dalam poket dia. Oleh itu cara mahu menukar rentak itu, tidak semudah yang dijangkakan.

Pemain akan cepat menyerah kalah apabila sudah terang melihat dia sudah tidak mempunyai kawalan atas permainan itu. Kadang-kadang diberi umpan makan dua biji buah sekalipun bagi menyelamatkan keadaan, lawan tidak menghiraukannya atau berselera kerana lawan tahu ada yang lebih besar dari makan dua biji itu.

Agak bernasib baik jika daripada hampir kalah, kita dapat membuat keputusan menjadi seri seperti berjaya mencari ‘lubang sok sek’ iaitu dua petak di sudut paling bawah di sebelah kanan papan. Biasanya pada kedudukan tinggal tiga biji lawan dan dua biji buah kita. Kita akan berusaha memecahkan buahnya ke dua lubang ‘sok sek’ itu. Maka pasti akan seri.

Begitulah hakikat politik. Strategi kita dan lawan, masing-masing sudah masak. Tinggal lagi siapa dahulu yang berjaya membuat gerakan betul dan tepat. Sering kita dengar strategi ‘Trojan Horse’, istilah dan cara yang diguna zaman kuno sehingga kini. Malah banyak lagi selain contoh ini berlaku dalam politik. Sejarah begitu kaya dengan catatan strategi politik yang kemudiannya digunakan orang kemudian.

Maka berperanglah pakar-pakar ini dalam medan siyasah bagi memburu kemenangan. Sama ada kemenangan itu digunakan pada jalan yang hak atau batil. Hanya yang memahami dengan betul dan sarat dengan pengalaman sahaja akan memberikan pandangan dalam strategi. Terkadang, idea ‘sok sek’ amat berguna pada keadaan tertentu bagi mengalih isu.

Di dalam permainan ‘dam aji’, ada satu watak yang digelar ‘golok’ oleh warga Terengganu dan Kelantan. ‘Golok’ ini bukan pemain, tetapi kerjanya duduk di belakang pemain dan sentiasa mengajar pemain buah mana yang sepatutnya dijalankan, ke arah mana. Banyak kali pemain yang agak lemah akan menuruti kehendak ‘golok’ ini. Pada kebanyakan masa, ‘golok’ lah yang ‘over acting’, melebihi pemain. Suaranya lantang didengari.

Dalam sistem ‘dam aji’ di Terengganu dan Kelantan, siapa kalah, kena atur buah. Dan paling merimaskan apabila kalah, ‘golok’ ini akan buat-buat hisap rokok, buat-buat tak nampak. Jadi pemain terpaksa mengatur buah keseorangan. ‘Golok’ datang semula bila buah sudah siap diatur oleh pemain, dan meneruskan lagi syor-syor gerakan dari strategi yang kononnya bergeliga itu.

Bagi pemain yang cerdik, mereka tidak akan mendengar nasihat ‘golok’ ini. Kecuali ‘golok’ itu sama-sama mengatur buah dam jika strategi mereka tidak menjadi dan kalah. Sama-sama bertanggungjawab. Bukan pemain menjadi hamba kepada ‘golok’ itu. Bila menang sebab ‘golok’ ajar, bila kalah pemain atur buah sorang-sorang.

MOHD NASIR ABDULLAH
14 September 2020 – HARAKAHDAILY 14/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -