BPMS elemen penting kesejahteraan rakyat

Ustaz Nurul Amin menyampaikan ucapan secara 'online' dari Kedah pada Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-66 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) menjadi elemen penting pimpinan PAS  di semua peringkat terutama dalam kerajaan, persekutuan dan negeri.

Pendekatan itu bukan sahaja budaya berpolitik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini.

- Advertisement -

Demikian petikan ulasan perwakilan Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid ketika mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan di Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-66 petang semalam.

“Pendekatan ini dibawa PAS sebagai parti Islam melalui BPMS yang memberi kesan terbaik kepada pentas utama budaya berpolitik,” katanya.

Menurutnya, tujuh prinsip BPMS kini dijadikan sebahagian pendekatan untuk mentadbir kerajaan Persekutuan dan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Justeru itu beliau menyeru kepada semua agar sama-sama mengukuhkan Muafakat Nasional dan perpaduan serta ketepikan perbezaan demi kesatuan ummah.

“Kesempatan ini, PAS Kedah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama membantu negeri ini (Kedah) membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya dinobatkan pada 17 Mei lalu.

“Walaupun pada awalnya agak sulit namun akhirnya dapat dirungkai apabila buah durian yang liat tangkainya akhir gugur ke bumi.

“Semoga Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua dapat direalisasikan dan Kedah terus menjadi negeri tempat orang miskin berteduh dan tempat orang kaya berbakti,” ucapan beliau penuh semangat.

Ustaz Nurul Amin juga memohon agar semua ahli PAS mendoakan agar penularan wabak Covid-19 di Kedah berkurangan ekoran kes tersebut agak membimbangkan buat masa ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -