PAS telah mengurus perubahan politik negara

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: PAS telah berperanan dalam mengurus perubahan politik semasa yang berlaku di mana anjakan sama perlu juga dibawa kepada generasi muda, demikian seru Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dunia seluruhnya kata beliau, menyedari bahawa suatu trend baharu dalam kalangan anak muda untuk membentuk suatu muafakat politik golongan itu bagi menerajui negara.

“Dan ini sedang berlaku di kebanyakan negara dan ia sedang juga berlaku di dalam konteks negara kita di Malaysia pada waktu ini. Ini adalah suatu perubahan yang sedang berlaku.

- Advertisement -

“Kerana data yang ada pada kita menjelang PRU16 bukan PRU15, anak muda merupakan generasi yang akan menentukan hala tuju politik pada masa depan negara Malaysia.

“Pembentukan hampir 64 peratus anak muda merupakan suatu fenomena baharu dalam menghadapi situasi ini,” peringatnya berucap merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentarbtadi.

Menurutnya, eningkatan generasi tua di kebanyakan negara-negara dunia memperlihatkan betapa generasi muda mengambil alih pendekatan politik menerajui, bahkan menjadi Presiden dan Menteri-menteri dalam usia yang sangat muda.

Bagaimanapun PAS katanya, sedang bergerak membuat persiapan itu di samping menyedari perlunya cabaran besar sedang dihadapi waktu ini melibatkan media baharu sebagai senjata menghadapi pilihan raya diuruskan.

“Sebagaimana yang kita memahami, setiap zaman Allah Taala mengutuskan, setiap waktu Allah utuskan Nabi-nabi dan Rasul-rasul A.S, setiap mukjizat Nabi-nabi dan Rasul-rasul ialah sesuai dengan zamannya.

“Maka mukjizat Nabi Muhammad ialah al-Quranul Karim. Cabaran yang dibawa yang diketengahkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quranul Karim ialah cabaran bagaimana mengurus media yang ada.

“Sebab itu Allah S.W.T menurunkan ayat pertama, Iqra’. Bahkan makhluk pertama dicipta oleh Allah ialah Qalam, bukan syurga, bukan malaikat, bukan ‘Arasy, tetapi al-Qalam,” ujarnya membacakan wahyu terawal itu.

Akuinya, menghadapi cabaran ini, parti melihat perlunya diurus dengan penuh tersusun pendekatan dalam menghadapi senjata cabaran media baharu untuk ditangani dengan penuh hemah dan cermat.

Sebaliknya kecelaruan dalam media baharu terangnya, apabila tidak lagi melihat kepada fakta kebenaran sesuatu maklumat disebarkan, tetapi fitnah yang melampau terus berlaku sehingga menjadi bahan serangan pihak-pihak musuh.

Beliau mengimbas kuatnya gelombang tersebut dalam PRU14 apabila PAS menghadapi cabaran besar fitnah RM90 juta yang tersebar secara meluas, tetapi mempunyai waktu singkat untuk menjawabnya.

Pun begitu tegasnya, badan yang wujud untuk menghadapi cabaran itu mesti mengketengahkan fakta-fakta jelas dari al-Quran sebagai bukti hujah sebagaimana seringkali disebut oleh pimpinan terdahulu.

Jelasnya, almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan almarhum Dato’ Dr Haron Din serta tokoh-tokoh lain dalam PAS dalam semua agenda meletakkan fakta dari sumber wahyu Quran dan sumber Hadis Nabi S.A.W.

“Adapun isu, dia akan naik dan turun, dia akan hadir dan hilang, dia akan bertukar silih berganti, namun dasar kita, asas perjuangan parti mesti tak boleh elak daripada sumber rujuk kepada Quran rujuk kepada Hadis.

“Maka kerana itulah, dasar kita mesti jelas bahawa apa fakta ada pada kita, penyelesaiannya ialah melalui cara Islam. Bukan umat yang menjadikan akal semata-mata sebagai panduan dalam mengurus negara.

“Tapi kita ada sumber rujukan, kita ada Quran, kita ada Hadis, kita ada pandangan ulamak yang muktabar, kita bukan umat yang awal, kita. Kita mengikuti apa yang telah dibina sebelum kita,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan betapa persiapan PAS dalam semua cabaran tersebut telah dilakukan menerusi suatu anjakan besar dalam konteks politik setelah berlakunya PRU14.

Iaitu jelasnya, selepas bersama dengan rakan Gagasan Sejahtera, diikuti bersama Umno dalam Muafakat Nasional dan kini menanti kehadiran parti BERSATU sebagai komponen penting itu. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -