Mahu beri sumbangan langsung memimpin negara

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lahir bagi menggantikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui ‘Pintu Istana’ menerusi perubahan secara demokratik dan berlandaskan kepada keluhuran undang-undang.

Perkara tersebut telah dirakamkan melalui titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu bertempat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin mengimbas sejarah penting itu dalam ucaptamanya pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, PN yang terbentuk oleh ketumbukan blok pembangkang dari Muafakat Nasional serta kesedaran beberapa Ahli Parlimen dari BERSATU, PKR, GPS dan parti komponen BN, maka memberi memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Detik tersebut terangnya, bermula tanggal 14 September 2019 apabila dua parti yang dominan di negara ini iaitu PAS dan Umno disatukan melalui tahaluf-siyasi Muafakat Nasional (MN).

“Kestabilan politik yang diwujudkan pada blok pembangkang ini melahirkan kesepaduan dan berjaya memenangi beberapa siri Pilihan Raya Kecil walaupun berdepan dengan jentera Kerajaan PH,” ujarnya.

Terdahulu, beliau membawa kembali rentetan PRU14 tahun 2018 di mana memperlihat kepada rakyat akan kestabilan proses demokrasi diamalkan Malaysia apabila berlakunya pertukaran kerajaan secara aman tanpa sebarang kekecohan.

Rakyat pula katanya, berpeluang untuk melihat sejauh mana Kerajaan PH dapat memenuhi aspirasi dan harapan tinggi rakyat khususnya untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Namun begitu, sejak 9 Mei 2018, bermulalah episod-episod malang buat rakyat Malaysia. Daripada Manifesto PH yang dikhianati, penghinaan kepada institusi raja, kos sara hidup yang masih tinggi malah semakin meningkat, penjualan aset-aset negara, ketegangan dan ketidakharmonian hubungan antara kaum.

“(Juga) tergugatnya prinsip-prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, ancaman campur tangan asing kepada negara melalui perjanjian antarabangsa yang kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan seperti ICERD dan Statut Rom.

“Dalam ketidaktentuan hala tuju negara, Kerajaan PH masih berseteru sesama sendiri. Pertelingkahan dalaman PH yang serius sudah menjadi rahsia umum kepada rakyat dan para pelabur. Ketidakstabilan politik ini menatijahkan kemerosotan keyakinan pelabur kepada Malaysia sehingga menyebabkan ekonomi negara semakin tenat dan merudum berbanding dengan rakan-rakan negara serantau.

“Jika dilihat rekod KLCI, setelah PH mengambil alih pemerintahan, indeks Bursa telah merosot sebanyak hampir 17 peratus sepanjang tempoh daripada Mei 2018 sehingga Mac 2020. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula mengucup daripada sekitar 6 peratus setahun kepada hanya 3.6 peratus pada tahun 2019,” ujarnya kesal.

Membawa tema ‘Memimpin Negara’, beliau menyifatkan pemerintahan diterajui kini merupakan anugerah Allah dan membuka ruang yang sangat besar untuk Pemuda PAS belajar dan menyumbang secara langsung dalam pentadbiran negeri dan negara.

Katanya, dalam keadaan ‘Memimpin Negara’ yakni mengadakan tahaluf-siyasi dalam Muafakat Nasional dan menjadi anggota dalam Kerajaan Pusat dan beberapa Kerajaan Negeri, PAS berperanan membawa sistem tadbir-urus Islam dengan memanfaatkan setiap ruang yang ada.

“Ia adalah manifestasi dakwah yang strategik bagi menangani permasalahan ummah secara praktikal dan bukan sekadar retorik,” ujarnya komited. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -