Pencapaian ‘tanda aras’ kecemerlangan PN

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan kecemerlangan dalam mengurus tadbir negara sekali gus mengisi ruang kegagalan diwujudkan Pakatan Harapan (PH), demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

“Antaranya ialah pengiktirafan dunia kepada kejayaan Malaysia dalam mengurus pandemik COVID-19,” ujarnya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Seluruh perwakilan juga bangun dan bertakbir sebagai memberi penghargaan kepada semua ‘frontliner’ yang diketuai dua ‘Panglima Perang Negara’ iaitu Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada masa sama katanya, Kerajaan PN merangka strategi pemulihan ekonomi jangka panjang dalam menangani cabaran COVID-19 yang merangkumi enam pendekatan atau dikenali sebagai ‘6R’.

“Iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform). Kita bakal memasuki tahap keempat iaitu Pemulihan atau Recovery.

“Melalui pendekatan Ketegasan, Ketahanan, Memulakan Semula, Kerajaan PN menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang komprehensif iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.

“Manakala, melalui pendekatan Pemulihan dan Memperkasa pula, Kerajaan PN memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’,” ujarnya.

Secara keseluruhan terangnya, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA, di mana daripada jumlah ini, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan.

Peruntukan ini jelas beliau, bagi mendukung tiga teras utama iaitu memperkasa rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi di mana dari pakej dilaksanakan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan dan mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat.

Selain itu katanya, telah memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat di mana sehingga 2 Jun 2020, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.

“Manakala indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI muncul indeks yang mencatat prestasi terbaik di ASEAN bagi separuh pertama 2020 apabila dilihat mengatasi indeks serantau sewaktu tempoh COVID-19.

“Daripada Survei Khas Kesan COVID-19 kepada ekonomi dan individu (Pusingan 2) yang dilaksanakan bulan lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 96 peratus mengakui memperoleh faedah daripada PRIHATIN.

“Jelas ini menunjukkan hasil kerja cemerlang Kerajaan PN yang ikhlas menjaga kebajikan rakyat serta menyelamatkan negara dalam tempoh yang sukar ini. Tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Bin Haji Yassin dan barisan Menteri Kabinetnya.

“Kesepakatan yang utuh ini perlu terus dipelihara demi memberi khidmat bakti terbaik buat rakyat. Suka saya ingatkan bahawa musuh sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meruntuhkan kesepakatan ini dan seterusnya mengkucar-kacirkan semula kestabilan politik negara,” ujarnya.

Namun beliau mengutarakan, ‘unprecedented event’ pandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung kepada negara dan anak muda Malaysia khususnya dari sudut ekonomi.

Menurut Ir Khairil, walaupun ekonomi negara dalam tempoh pemulihan, namun ia dijangka akan mencatat pertumbuhan negatif di mana pengangguran akan menjadi di antara cabaran terbesar menguruskan ekonomi negara.

“Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran adalah sebanyak 5.5 peratus atau 860,000 orang bagi tahun 2020. Namun, Alhamdulillah, dengan peningkatan aktiviti ekonomi hasil daripada pelaksanaan inisiatif diperkenalkan kerajaan, kadar pengangguran menunjukkan penyusutan.

“(Iaitu) 4.9 peratus pada Jun 2020 daripada paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020. Dari sudut positif, pandemik COVID-19 telah membuka peluang kepada ekonomi digital,” ujarnya.

Menurutnya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan peningkatan 20 peratus sumbangan kepada ekonomi digital tahun ini dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK meningkat sehingga RM170 bilion untuk tahun 2020.

Hal itu jelasnya, akan menjadi salah satu cabang ekonomi yang boleh memacu pemulihan ekonomi secara menyeluruh di mana anak muda Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk mempelajari kemahiran dan kompetensi baru ekonomi digital menjadi usahawan berdaya saing pasca COVID-19.

“Perlu diingat, belia berumur 15-29 tahun merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia.

“Oleh demikian, penting Kerajaan memastikan belia, termasuk graduan baharu bukan sahaja memperolehi pekerjaan, malah memperolehi pekerjaan yang berkualiti dan setara dengan kelayakan mereka,” harapnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -