Fakta LTTE adalah pengganas dan pemberontak

- Advertisement -

AMAT mendukacitakan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui satu surat bertarikh 12 Februari 2020 kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana mantan Perdana Menteri itu berpendapat bahawa pihak kerajaan negara ini tidak perlu menganggap Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas.

- Advertisement -

Hujah Tun Dr Mahathir bahawa Sri Lanka tidak lagi menganggap LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah kurang tepat memandangkan negara berpopulasi majoriti Buddha tersebut telah menyenaraikan kembali LTTE sebagai pengganas pada 7 Januari 2009 apabila hampir 7 tahun LTTE dikeluarkan dari senarai tersebut ketika proses gencatan senjata di Sri Lanka.

Pendapat Tun Dr Mahathir bahawa LTTE tidak mengancam keselamatan negara juga adalah tidak rasional memandangkan terdapat sekurang-kurangnya 32 buah negara, kebanyakannya bukan negara berpopulasi majoriti Muslim, masih menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Ini kerana ideologi, modus operandi serta sejarah LTTE itu sendiri yang sarat dengan tindakan kejam tidak berperikemanusiaan seperti pembersihan etnik Sinhala Buddha serta Muslim (termasuk Tamil Muslim) di kawasan pernah dikawal oleh kumpulan tersebut di Sri Lanka. Ia terjadi dalam Oktober 1987 di Wilayah Timur Sri Lanka apabila seramai 200 orang awam etnik Sinhala Buddha disembelih manakala seramai 20,000 hilang tempat tinggal kerana lari menyelamatkan diri.

Kekejaman LTTE tidak kurang hebatnya terhadap Muslim. Dalam tahun 1990, orang awam Muslim warga Sri Lanka telah diusir dari Wilayah Utara, dan kemudiannya Wilayah Timur dalam tahun 1992. LTTE menganggap Muslim sebagai ancaman kepada identiti etnik Tamil serta ‘keselamatan nasional’ walaupun pada awalnya LTTE pernah mendapat simpati warga Muslim di Sri Lanka.

Paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam Sri Lanka apabila sekurang-kurangnya empat masjid di Kattankudy (salah sebuah pekan di Timur Sri Lanka) telah diserang oleh sekurang-kurangnya 30 orang dipercayai pengganas LTTE yang lengkap bersenjata ketika para jemaah sedang rukuk ketika mengerjakan solat Isyak pada 3 Ogos 1990. Seramai 147 orang Muslim terbunuh termasuk kanak-kanak.

Ia bukanlah pertama kali LTTE membunuh orang awam di dalam masjid, pada 24 Julai 1990, 4 orang jemaah dibunuh dalam masjid di Daerah Batticaloa manakala pada 29 Julai tahun yang sama 10 orang jemaah lagi telah ditembak mati di Sammanthurai 25 batu Timur dari pekan Batticaloa yang terletak di Timur Sri Lanka. Maka tidak hairanlah Muslim di negara ini mempunyai cukup alasan untuk menolak LTTE laknatullah habis-habisan!

Bukan itu saja, malah LTTE telah melanggar banyak elemen-elemen hak asasi manusia hingga ke peringkat melakukan jenayah perang. LTTE mempunyai rekod membunuh tebusan serta tawanan perang tanpa mengira status orang awam atau tidak, tanpa mengira jantina atau peringkat umur. Malah LTTE merekrut anggota bawah umur untuk dibasuh minda mereka menjadi tentera kanak-kanak.

Kezaliman LTTE melampaui sempadan negara, agama dan etnik. Seramai dua tokoh agama Hindu dan dua orang tokoh agama Buddha di Sri Lanka telah dibunuh oleh mereka. Manakala sekurang-kurangnya dua wartawan dan tiga orang aktivis masyarakat juga hilang nyawa di Sri Lanka sepanjang sejarah kewujudan LTTE. Dunia tidak lupa bagaimana mantan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi cucu kepada tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi telah dibunuh oleh pengebom berani mati anggota LTTE pada 21 Mei 1991 hingga mengorbankan 14 orang yang lain di Tamil Nadu, India.

Dengan segala fakta-fakta ringkas yang disebutkan di atas tadi, maka keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk terus mengekalkan LTTE dalam senarai pengganas di negara ini merupakan langkah tepat dan patut dipuji sungguhpun mendapat ‘arahan’ dari Perdana Menteri ke-7 ketika itu. LTTE telah berada dalam senarai kumpulan-kumpulan pengganas di Malaysia sejak 12 November 2014 dan ia sewajarnya kekal begitu demi kesejahteraan nasional.

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) – HARAKAHDAILY 6/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -