PAS Pekan ziarah Maahad Tahfiz terbakar

- Advertisement -

PEKAN: Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Pekan telah mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin Ibadah Mukmin, Kampung Lepar Baru, Tanah Putih, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Maahad Tahfiz yang berkeluasan 4,800 kaki persegi ini mengalami kerosakan sebanyak 40 peratus melibatkan ruangan solat dan belajar dalam kejadian kebakaran pada 31 Ogos lalu.

Lawatan diketuai Yang DiPertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf ini disertai Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Pekan.

Menurut Mudir Maahad, Ustaz Mohd Al-Fakwil Abdul Malek, ketika kejadian, seramai 13 pelajar dan lima kakitangan sedang nyenyak tidur di premis berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, salah seorang daripada pelajar terjaga selepas terhidu bau asap dan mengejutkan seluruh pelajar dan kakitangan Maahad memyelamatkan diri.

Katanya, tindakan pantas pihak Bomba dan Penyelamat dari Balai Bandar Pekan dan Peramu telah berjaya mengawal dan  memadamkan kebakaran dalam tempoh 30 minit selepas mendapat panggilan jam 4:07 pagi.

Sehubungan itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pekan, Ahmad Harun telah melancarkan kutipan derma kilat bagi disalurkan kepada pihak Maahad yang penerimaan masih dibuka.

Para dermawan yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui akaun Maybank 5562 3531 4707 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin Ibadah Mukmin.

Dalam lawatan tersebut, Ustaz Abu Kassim menasihati agar bersabar dengan musibah kehilangan dan berharap supaya Maahad Tahfiz ini akan menjadi mercu tanda yang terkenal di Bandar Pekan. – HARAKAHDAILY 5/9/2020

- Advertisement -