Terima kunjungan Menteri Kewangan ke Rusila, Marang

- Advertisement -

SAYA berbesar hati di atas kesudian YB Menteri Kewangan untuk berkunjung ke Kampung Rusila, Marang, dalam kepadatan jadual lawatan beliau ke Negeri Terengganu.

- Advertisement -

Kami meluangkan sedikit masa untuk meninjau ruang solat di Masjid Rusila, berkongsi sejarah masjid ini yang diasaskan oleh moyang saya lebih 100 tahun yang lalu, sehingga pembinaan fasa seterusnya termasuklah penubuhan Maahad Darul Quran, yang kesemuanya dibina dengan dana waqaf dan sumbangan orang kampung.

Dalam pertemuan tersebut, kami berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat dan pembangunan di kawasan luar bandar, yang sinonim dengan aktiviti pertanian, perikanan, pelancongan dan industri desa.

Pada masa sama, saya turut menyerahkan suatu kertas cadangan untuk pertimbangan YB Menteri, yang mengandungi beberapa syor dan saranan berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19, khususnya melalui peluang kerjasama negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.

Saya doakan agar YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pasukan beliau di Kementerian Kewangan sentiasa diberikan bimbingan dan kekuatan daripada Allah S.W.T untuk menerajui usaha pemulihan ekonomi negara secara adil dan saksama.

ABDUL HADI AWANG
Masjid Rusila, Marang – HARAKAHDAILY 5/9/2020

- Advertisement -