PN berjaya imbangi cabaran ekonomi terkini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia yang menjadi sebahagian dunia tidak akan terlepas dari kemelesetan dan kegawatan ekonomi global apatah lagi ketika ini ianya berpunca daripada kesan pandemik COVID-19.

Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dato’ Dr Zakariah Abdul Rashid, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia hanya mewakili 0.4 peratus dunia.

“Jadi Malaysia tidak akan terlepas daripada kemelesetan ini. Terutamanya lagi Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil dan terbuka. Memang kita sangat-sangat dipengaruhi oleh global players, sangat dipengaruhi oleh China, sangat dipengaruhi oleh US dari segi eksport import, dan juga dari segi teknologi.

“Jadi bermakna, itu akan berlaku. Dan bila dikatakan kemelesetan ini berlaku yang saya bimbang sekali ialah kegawatan,” ujarnya pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Keadaan tersebut jelasnya, meletakkan ekonomi Malaysia ketika ini di paras negatif setakat suku kedua dan ia akan terus negatif pada suku ketiga dan keempat yang bererti semakin mengecut.

Beliau berharap keadaan tersebut tidak berterusan melebihi dua setengah tahun kerana akan menyebabkan negara mengalami kegawatan ekonomi, namun faktor dunia akan turut menjadi penyebab.

- Advertisement -

Dalam kertas kerjanya, Dr Zakariah memuji tindakan tepat kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk melebarkan sedikit defisit fiskal demi mengutamakan kebajikan rakyat dalam keadaan kesempitan kewangan sektor awam.

“Matlamat kerajaan untuk mewujudkan akaun fiskal Kerajaan Persekutuan yang seimbang dikorbankan buat seketika untuk memberikan keutamaan menyelamatkan kebajikan rakyat.

“Kerajaan PN sekarang sedang merancang untuk mengemukakan pelan jangka panjang pembangunan ekonomi yang akan dapat mengubah struktur asas ekonomi.

“Buat setakat ini, dalam jangka pendek, kelihatan masalah gangguan kepada sistem pengeluaran negara yang terpaksa ditutup sewaktu PKP telah sebahagian besarnya dapat dipulihkan apabila ekonomi telah dapat dibuka semula.

“Kilang-kilang telah kembali beroperasi, para pekerja telah dapat kembali bekerja dan peniaga telah dapat menyambung kembali perniagaan mereka,” ujarnya.

Menurutnya, pekerja, pengguna, isi rumah, sektor awam dan sektor swasta serta para majikan, walaupun terjejas dengan penutupan dan gangguan pandemik ini, gaji pekerja dan kadar pengangguran telah dapat diselamatkan dengan kadar penurunan yang boleh diterima.

Tambahnya, sebaik sahaja ekonomi dibuka semula, kadar pengangguran bulanan turun dan kegiatan ekonomi kembali cergas di mana kemelesetan KDNK berlaku pada kadar yang boleh diterima dan buat setakat ini adalah lebih baik daripada kebanyakan negara di dunia.

“Ini menandakan buat setakat ini pakej mitigasi rangsangan ekonomi telah menampakkan kejayaannya. Dalam tempoh singkat pentadbiran Kerajaan PN sehingga ke hari ini, ia tentunya tidak berupaya untuk mengubah struktur ekonomi sedia ada.

“Tetapi pendekatan yang ditunjukkan oleh pentadbiran baharu ini dalam pelan mitigasi ekonomi jangka pendek di dalam menangani wabak COVID-19 boleh dijadikan panduan, di mana ia menumpukan kepada masalah golongan isi rumah bawahan dan peniaga kecil-kecilan.

“Ini adalah pendekatan yang tepat sekali memandangkan setiap mereka bukan sahaja merupakan masing-masing dari keseluruhan isi rumah dan badan perniagaan adalah golongan yang paling rapuh tetapi juga peratusan yang paling tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -