PN kerajaan yang rapuh, tetapi berwibawa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan drastik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menutup ekonomi negara pada 18 Mac 2020 telah menyebabkan rencatan dan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 28 peratus pada April lalu.

Keputusan tidak popular pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyaksikan KDNK turun lagi kepada 19 peratus pada bulan Mei itu disifatkan oleh banyak ahli perniagaan terutama bukan-Melayu sebagai keputusan menghancurkan ekonomi.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun menyifatkan tindakan tersebut sebagai berani Malaysia mengamalkan ekonomi perniagaan terbuka di mana sebolehnya kerajaan tidak campur tangan.

“Inilah pertama kali kerajaan berani campur tangan membuat keputusan, tutup ekonomi selama 2 minggu (ketika itu). Keputusan berani itu diasaskan kepada semangat kerajaan prihatin kerana memilih untuk menyelamatkan nyawa daripada menyelamatkan ekonomi,” ujarnya.

Hal tersebut ulas beliau, berbeza dari kerajaan sebelumnya di mana walaupun kes pertama COVID-19 sudah dikesan pada 29 Januari, namun tidak ada usaha-usaha drastik yang dilakukan termasuk oleh Perdana Menteri Interim selepas itu.

Sebaliknya beliau yang mengistilahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘mengetuai kerajaan satu orang’ pada 27 Februari telah membentangkan pakej rangsangan bernilai RM20 bilion untuk ekonomi, tetapi bukan bagi menangani COVID-19.

Menurutnya, penganalisis ekonomi dan perniagaan walaupun melihat secara negatif tindakan Kerajaan PN, namun ia tidak dihiraukan kerana keutamaan kerajaan kepada nyawa yang tidak boleh ditukar ganti hingga ada tujuh peringkat sekatan pergerakan.

Namun kata beliau, akhirnya semua pihak melihat rasional dan justifikasi tindakan itu hari demi hari dan ia merupakan keputusan sangat baik hingga kerajaan mempertimbangkan membuka kembali aktiviti ekonomi di sebalik risiko masih wujud.

Kata Prof Barjoyai, Kerajaan PN sememangnya sangat rapuh kerana ia wujud secara tidak langsung dari pergolakan politik kerajaan sebelumnya tanpa dirancang penubuhan tersebut, tetapi satu-satunya kerajaan sejak merdeka yang mewakili kaum Melayu.

“Walaupun dia rapuh, dia berwibawa kerana dia membawa, dan ini sebenarnya membayangkan peralihan kuasa yang jelas kepada kaum Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia. Ditubuhkan 29 Februari, 1 haribulan (Mac) Perdana Menteri mulakan tugas,” ujarnya.

Beliau juga menzahirkan kekaguman apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pertama dalam sejarah membaca doa secara langsung di televisyen, mengetuai takbir raya dan menonjolkan ciri keislaman dalam pentadbiran. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -