Kaum Cina, India sudah alih sokongan

PH tiada lagi 'masa depan', WARISAN juga bakal kalah di PRN Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Di sebalik keputusan PRK DUN N.58 Slim di mana BN menang besar dan pihak Bebas tewas teruk, sebenarnya pengundi Cina dan India telah kembali menyokong BN, demikian kata Pensyarah Institut Strategik Kingsley (KSI), Prof Dr Hoo Kee Ping.

Menurut beliau, keputusan dan perkembangan politik masa kini memberi gambaran akan terjadi di ‘masa depan’ di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga tidak akan dipedulikan lagi setelah sokongan kepada tokoh itu juga dapat dinilai dari 13 peratus undi pada PRK itu.

Perkara itu dikupasnya dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Beliau menyingkap kekalahan BN pada PRU14 dahulu disebabkan perpecahan dalam kalangan pengundi di mana kini hal tersebut sedang berlaku dalam Pakatan Harapan, seterusnya akan menuju kepada kehancuran gabungan tersebut.

Penyatuan pengundi Melayu di bawah Muafakat Nasional diakui beliau amat penting di mana ia memerlukan juga kelancaran rundingan bersama BERSATU, selain WARISAN akan tewas jika berlaku pertandingan satu lawan satu di PRN Sabah.

Perkara tersebut katanya, hanya boleh dielak jika WARISAN diketuai Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal menyertai kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana rakan Pakatan Harapan itu tiada lagi tempat boleh pergi melainkan bersama PN.

Beliau mengukuhkan hujah dengan menegaskan bahawa parti-parti politik lain termasuk di Sarawak sudah bersama dalam dominasi di bawah PN dan rakyat sudah tidak menerima lagi politik yang berpecah dan tidak stabil.

- Advertisement -

Sementara itu, Pensyarah Universiti Utama Malaysia, Dr R Sivaperegasam P Rajanthiran ketika soal jawab mengenai sokongan kaum India menyatakan bahawa masyarakat tersebut kini amat meyakini MIC.

Jelasnya, ia hasil suasana politik dan kesinambungan dahulu, selain kewibawaan tokoh MIC dalam membawa kebajikan kepada kaum itu, sedangkan hal demikian tidak dimiliki keterampilannya oleh tokoh politik lain.

Akui beliau, kaum India mempunyai kecenderungan sendiri dan agak kompleks, selain kesetiaan MIC juga dilihat jelas hanya kepada BN dan Umno yang disifatkannya perkara cukup dikagumi. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -