Tajaan Biasiswa PETRONAS diberi ikut merit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantuan penajaan pendidikan daripada PETRONAS diberi kepada pemohon yang layak dari segi merit dan tiada kelebihan termasuk kuota istimewa diperuntukkan kepada negeri pengeluar minyak utama negara, termasuk Sabah dan Sarawak, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata walaupun begitu, syarikat pengeluar minyak negara itu memberi pelbagai bantuan lain dari segi kemudahan infrastruktur untuk pembangunan pendidikan bagi mengurangkan jurang perbezaan infrastruktur antara kedua-dua negeri itu dengan negeri di Semenanjung.

“Kami tahu bahawa infrastruktur di Sabah belum lagi boleh dibanding dengan infrastruktur di Semenanjung.

- Advertisement -

“Maka dengan itu, Petronas mempunyai pelbagai program seperti membina MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) di Ranau, asrama harian luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan tambahan Awang Husaini Sahari (PKR-Putatan), sama ada kelebihan diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk memohon penajaan pendidikan pengajian tinggi Petronas memandangkan infrastruktur pendidikan kedua-dua negeri itu disifatkannya sebagai jauh ke belakang dan boleh mempengaruhi mutu pendidikan pelajar dan peluang penajaan.
 
Mengulas lanjut, Arthur berkata di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas yang diwujudkan sejak tahun 1975, telah memberi manfaat kepada lebih 36,000 pelajar melibatkan perbelanjaan melebihi RM3 bilion.

Sejak tahun 2010, secara keseluruhannya seramai 3,426 pelajar telah menerima tajaan di bawah program berkenaan melibatkan kos sebanyak RM874 juta, katanya.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 17 peratus atau 575 adalah pelajar dari Sabah dan Sarawak, dengan kos tajaan melebihi RM100 juta. 

“Bagi Sabah, ada 245 pelajar yang mendapat tajaan dan daripada jumlah itu, 163 pelajar yang ditaja untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan manakala 82 lagi pengajian di universiti luar negara.

“Bagi Sarawak, seramai 330 pelajar mendapat tajaan dan daripada jumlah ini 234 pelajar di universiti tempatan dan 96 di universiti luar negara,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -