Rakyat hilang kerja dibantu penempatan semula

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membantu para majikan khususnya yang ingin menggaji pekerja tempatan termasuk golongan pencari kerja dengan cara mendaftar secara dalam talian bagi mendapatkan pekerjaan melalui inisiatif penempatan semula.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata inisiatif penempatan semula yang dikendalikan KSM akan dilaksanakan melalui agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB).

Menurutnya inisiatif itu dilakukan susulan data dikumpul KSM menunjukkan banyak pekerja tempatan dan pekerja asing yang masih mempunyai permit kerja sah untuk tempoh panjang telah diberhentikan berikutan penularan pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Justeru, KSM melalui jabatan serta agensi di bawahnya akan cuba mengurangkan kes-kes kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja tempatan dan pekerja asing, katanya dalam kenyataan hari ini. 

“KSM turut menggesa mana-mana majikan supaya memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam premis mereka.
 
“Sekiranya tiada sambutan daripada pekerja tempatan, maka majikan diberikan kelonggaran untuk menggaji pekerja asing sah yang telah diberhentikan oleh majikan lama,” katanya.

Saravanan berkata bagi majikan yang memerlukan pekerja asing setelah tiada pengisian kekosongan oleh pekerja tempatan di premis mereka, kekosongan tersebut boleh diisi oleh pekerja asing sah yang telah kehilangan pekerjaan mereka.

“Ini kerana pihak kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penempatan semula pekerja dengan cara penggantian majikan bagi pekerja asing dalam sektor yang sama dan kini juga boleh untuk sektor yang lain (sektor silang) tetapi ia bergantung kepada keadaan (berdasarkan kes),” katanya.

Borang permohonan untuk penggantian majikan bagi pekerja asing boleh dimuat turun dari laman sesawang jabatan iaitu tksm.mohr.gov.my dan borang tersebut perlu dihantar sama ada secara serahan tangan ke Ibu Pejabat di Putrajaya atau serahan secara pos atau melalui e-mel di alamat [email protected]. – BERNAMA

- Advertisement -