Muafakat Nasional formula perintah Malaysia

- Advertisement -

BANGI: Kebersamaan PAS dan Umno merupakan inisiatif terbaik pimpinan kedua parti untuk memperbetulkan kembali landskap politik Malaysia yang diasak pelbagai masalah apabila diperintah Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir, menyifatkan perubahan politik baharu dialami negara adalah selari dengan amalan norma baru disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini.

“Tidak pernah dalam sejarah politik negara, kedua parti boleh duduk bersatu dan maufakat untuk membincangkan mengenai keamanan negara, bangsa dan agama. Dalam PRU14 kita berpecah dan berlawan, kesan yang kita lihat, politik negara tidak menentu, DAP menguasai.

“Hasil keterbukaan, keinsafan kedua parti terbesar PAS-Umno, kita ambil inisiatif perbetulkan keadaan supaya politik berada pada orang yang betul,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bangi Kali Ke-36 di Bangi Conversation Centre, pagi ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang ini juga menasihati agar memperkuat Maufakat Nasional (MN) kerana ia adalah formula baharu untuk memerintah Malaysia dan memastikan DAP berserta rakan-rakannya tidak berkuasa kembali.

Beliau turut mengimbas dan mengingatkan para perwakilan dan pemerhati terhadap keresahan dan impak yang pernah rakyat hadapi apabila Malaysia diperintah PH walaupun dalam tempoh yang singkat.

“22 bulan kita tertekan, hak kepentingan orang Melayu dipertikai, amalan songsang LGBT diasak diperkenalkan dalam Malaysia. Perkara sensitif sebelum ini tidak disentuh, telah dipertikaikan. Kehidupan kita bagai burung, hendak terbang tidak bersayap, hendak berjalan tidak berkaki.

“Paling takut pada Muafakat Nasional ini adalah DAP. Kamus perjuangannya tidak ada agenda perjuangan nasib Melayu. Perjuangan DAP ingin wujudkan Malaysian Malaysia, tiada keistimewaan pada Melayu kerana ia diskriminasi.

“Kedua dia ingin menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan sekular,” tambah beliau sambil menyeru agar ukhuwah PAS-Umno dapat dikekalkan dan ahli memberikan sepenuh walak dan taat pada pimpinan supaya musuh tidak memgambil kesempatan atas kelemahan yang ada.

Seramai hampir 200 perwakilan dan pemerhati hadir dalam Mesyuarat Agung yang dihadkan kali ini kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 15/8/2020

- Advertisement -