Penyatuan Melayu tonggak kekuatan negara

- Advertisement -

BANGI: Penyatuan bangsa Melayu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah demi kestabilan negara serta meramaikan kawan, sekali gus mengurangkan lawan dalam realiti politik Malaysia adalah hasrat dan cita-cita PAS.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Kawasan Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah menyatakan perkara itu semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bangi Kali Ke-36 di Bangi Convention Centre, di sini pagi tadi.

“Apabila umat Melayu bersatu, negara akan kuat. Apabila umat Melayu bersatu, Melayu akan selamat. Apabila umat Melayu bersatu, bukan Melayu pun akan selamat,” tegasnya dalam ucaptama disampaikan.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS mahu mengukuhkan Muafakat Nasional dan pada masa sama mahu menarik lebih ramai sahabat yang boleh menerima dan berkawan dengan gabungan ini. 

Ini kerana katanya, parti ini percaya lebih banyak parti akan bersama dengan Muafakat Nasional kerana masing-masing mempunyai cita-cita yang sama iaitu melahirkan Malaysia Sejahtera tanpa DAP di dalam pemerintahan negara.

Shafie turut mengingatkan ahli PAS agar meningkatkan kebersamaan dalam Muafakat Nasional melalui pelbagai aktiviti lapangan, mesyuarat serta media dan siaran.

Ahli PAS juga diminta untuk patuhi setiap rancangan dan arahan kepimpinan dan wajib membantu serta menangkan calon Muafakat Nasional yang akan diletakkan bertanding di Parlimen Bangi dalam PRU15 akan datang. – HARAKAHDAILY 15/8/2020

- Advertisement -