Muslimat mesti aktif gerakkan agenda wanita

- Advertisement -

MUAR: Muslimat perlu memainkan peranan aktif dengan bertindak mendepani isu-isu masyarakat khususnya yang berkisar golongan wanita, demikian seru Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Hussin.

- Advertisement -

Katanya, beliau berharap Muslimat PAS juga akan dilantik mengisi jawatan sebagai Ahli Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negara agar dapat membawa suara rakyat khususnya wanita dengan lebih berkesan.

“Diharapkan juga Muslimat juga mampu menjadi agen masyarakat membawa isu masyarakat di peringkat yang lebih tinggi iaitu ke Parlimen,” ujarnya dalam program Santai Sarapan dan Taujihat di Pusat Tarbiah PAS Parit Pechah, di sini semalam.

Tambahnya lagi, Pusat Khidmat DUN (PKD) harus diwujud dan digerakkan semaksimumnya di setiap DUN dengan pengurusan yang lebih sistematik bagi mengurus kebajikan dan permasalahan masyarakat setempat.

Muslimat juga peringatnya, perlu berganding bahu turun mendekati penduduk, contohnya memperkenalkan Program Keluarga Mawaddah, Rahmah, Sakinah ke dalam masyarakat.

“Boleh dibuat dengan cara kerjasama bersama Wanita Umno dan Bersatu khususnya kes-kes berkaitan masalah wanita. Pada peringkat awal, bagi PKD yang baru boleh membuat lawatan ke PKD lain di Malaysia yang bergerak aktif,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, entiti Muslimat Muda perlu bergerak lebih aktif kerana mampu bergerak lebih jauh dan bertenaga dengan dibantu oleh Muslimat veteran yang kaya dengan pengalaman.

Muslimat Muda juga nasihatnya, wajar melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dan kemahiran pengurusan, kewangan, teknologi maklumat dan ilmu sahsiah diri yang menepati ajaran Islam.

“Dengan kelengkapan ilmu-ilmu yang telah dipenuhi itu diharap dapat menjadi tapak membina ciri-ciri kepemimpinan dan seterusnya membantu jemaah menggerakkan wadah perjuangan Islam berlandaskan Al Quran dan sunnah,” katanya.

Turut hadir sama di program ini ialah Ketua Muslimat PAS Kawasan Muar, Norhayati Sulaiman dan pimpinan Muslimat PAS dari pelbagai peringkat di Muar. – HARAKAHDAILY 15/8/2020

- Advertisement -