Lambakan hartanah mewah perlu langkah intervensi

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melaksanakan moratorium terhadap pembinaan hartanah mewah bagi mengelakkan kes lambakan berterusan.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata peningkatan hartanah mewah yang tidak terjual telah berlaku sejak 2015 dan perkara ini memerlukan langkah intervensi yang tegas daripada kerajaan.

- Advertisement -

“Laporan BNM (Bank Negara Malaysia) pada tahun 2017 telah menjelaskan bahawa 83 peratus hartanah berharga RM250,000 ke atas tidak terjual dengan julat harga RM500,000 kepada RM1 juta menunjukkan peratus tertinggi (35.3 peratus), diikuti julat harga RM250,000 kepada RM500,000 (33.9 peratus).

“Manakala julat harga RM1 juta ke atas adalah 13.8 peratus. Statistik ini sewajarnya menjadi penyebab amaran (cause for alarm) kepada kerajaan mengenai polemik perumahan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahan pula katanya, pembinaan hartanah yang dikategorikan sebagai mampu milik juga dilihat tidak memenuhi permintaan semasa.

Sebaliknya kata beliau pembinaan hartanah mewah terus meningkat meskipun telah melebihi permintaan yang ada.

Maka, di sebalik pelbagai polisi yang telah diambil oleh kerajaan bagi menangani perkara ini, saya berpendapat sewajarnya kerajaan turut mengenakan moratorium terhadap pembinaan hartanah mewah ini.

“Hal yang demikian bagi mengelakkan isu lambakan (pembinaan hartanah mewah) ini daripada terus membelenggu isu-isu perumahan negara,” ujar Che Alias.- HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -