Pindaan hukuman mati: Kabinet belum putuskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan banduan akhir yang bakal menghadapi hukuman mati mandatori mencatatkan peningkatan dengan jumlah 1,324 keseluruhan termasuk 24 banduan yang ditolak pengampunan mereka.

Antara pecahannya ialah kes membabitkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebanyak 374 kes, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (918 kes), Akta Senjata Api (16 kes) dan culik (2 kes).

- Advertisement -

Fakta tersebut disebutkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan ketika menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengenai jumlah pesalah yang dijatuhkan hukuman mandatori meningkat.

Mengulas berhubung keputusan dan pendirian kerajaan mengenai hukuman mati mandatori yang dibangkitkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Takiyuddin (PAS-Kota Bharu) berkata pihaknya akan membawa laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori kepada kabinet sebelum mengumumkannya.

Katanya, laporan tersebut baru sahaja diterima Julai baru-baru ini walaupun kajian telah bermula sejak September tahun lalu.

“Hasil daripada dapatan kajian ini dijangka dapat menjawab semua persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah sebagaimana yang disebutkan.

“Minta maaf, saya belum boleh dapat umumkan cadangan kerajaan kerana hasil ini belum dibawa lagi ke kabinet.

“Jadi sama ada kabinet bersetuju ataupun tidak itu bergantung kepada persetujuan dan pertimbangan dan insya-Allah dalam waktu terdekat saya akan pastikan perkara ini dibawa ke kabinet,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -