Agenda penyatuan Melayu bermula sejak PAS ditubuhkan

- Advertisement -

SEMALAM portal berita yang cenderung kepada PAN telah memetik komen saya terhadap posting kenalan Facebook, bahawa saya mengaku PAS telah mengusahakan penyatuan Melayu sejak 2011. Isu ini timbul ekoran Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyudin Hassan menjelaskan bahawa usaha menyatukan Melayu telah beliau usahakan sejak tahun 2015. Mereka yang cenderung PH khususnya ahli-ahli PAN mendakwa PAS tidak jujur menerangkan kepada ahli-ahli berkenaan agenda tersebut.

- Advertisement -

Sebenarnya, ahli-ahli PAS yang memahami perjuangan PAS mendaulatkan Islam sudah sedia jelas dengan agenda PAS tersebut, melainkan mereka yang menyertai PAS kerana mencari ‘habuan’ tertentu. Di dalam Perlembagaan PAS, telah tercatat dengan terang bahawa salah satu usaha-usaha PAS ialah untuk memupuk Ukhuwah Islamiyah, iaitu dalam konteks negara Malaysia ialah penyatuan Melayu. Malah di dalam Lagu Rasmi PAS yang turut dialunkan oleh ahli-ahli PAN dahulu, rangkap pertamanya ialah “Bersatulah Wahai Kaum Muslimin”.

Sebenarnya semua parti-parti yang berteraskan Islam atau Melayu di Malaysia ini, usaha utama mereka adalah penyatuan. Nama Umno sendiri ada frasa ‘bersatu’. BERSATU pula, akronimnya sendiri jelas menunjukkan usaha penyatuan. Yang tiada tercatat usaha untuk penyatuan Melayu hanyalah PAN. Dalam Perlembagaan PAN hanya disebut inklusif merentas kaum dan agama, sedangkan perpaduan rakyat Malaysia tidak mungkin wujud tanpa penyatuan Melayu. Sebab itu di dalam Perlembagaan PAS menyebut Ukhuwah Islamiyah dahulu kemudian perpaduan kaum.

Mereka yang alergik atau paranoid kepada Ukhuwah Islamiyah atau penyatuan Melayu ini, jika dia seorang Islam, sudah pasti mereka dikategori sebagai berpenyakit rohani. Jika dia seseorang kafir yang memusuhi Islam, memang dia mahukan umat Islam dan Melayu berpecah. Sebab itu, penjajah yang menjarah bumi umat Islam dahulu melakukan amalan ‘pecah dan perintah’, dan ini diikuti oleh pewaris penjajah sehingga hari ini. Sememangnya seluruh umat Islam dan Melayu sangat mendambakan Ukhuwah Islamiyah atau penyatuan Melayu kecuali mereka yang berpenyakit hati.

Dalam konteks peranan saya terhadap usaha ini, sebenarnya bermula lebih awal dari 2011. Ia adalah antara resolusi _retreat_ Dewan Pemuda PAS sekitar tahun 2009 yang mahukan Dewan Pemuda PAS membina jaringan dengan NGO-NGO dan NGI-NGI Melayu khususnya yang Pro-Umno supaya PAS tidak tertinggal dalam memperjuangkan agenda Melayu. _Retreat_ Dewan Pemuda PAS yang diadakan di Kuala Kubu Baharu, diketuai oleh saudara Ahmad Sabki Yusoff, yang merupakan salah seorang pimpinan PAN sekarang.

Hasil resolusi itu, saya adalah salah seorang yang diamanahkan untuk mendekati NGO-NGO dan NGI-NGI Melayu. Seorang lagi deligasi PAS ialah saudara Suhaizan Kayat, yang sekarang ini merupakan pimpinan PAN Johor. Kemuncak kepada perbincangan dengan NGO-NGO dan NGI-NGI Melayu yang turut dihadiri saudara Suhaizan ialah pembentukan resolusi bersama ke arah mengukuhkan penyatuan Melayu termasuk di dalam arena politik. Cuma pada waktu itu Pergerakan Pemuda Umno tidak pernah menyertai pertemuan-pertemuan yang dianjurkan walaupun mereka dijemput.

Semenjak itu, hubungan PAS dan NGO serta NGI Melayu semakin erat. Saudara Suhaizan yang diberi tanggungjawab sebagai penggerak utama gerakan anti-PPSMI telah sering kali berada sepentas dengan NGO-NGO Melayu khususnya Majlis Perunding Melayu (MPM) memperjuangkan isu tersebut. Usaha saudara Suhaizan itu, sehingga kami secara berseloroh menggelar beliau “Pemuda Melayu Terakhir”. Sesungguhnya saya yakin mereka yang cinta kepada Islam dan Melayu, tidak akan alergik dan paranoid dengan usaha penyatuan Melayu.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -