Kerajaan prihatin tangguh bayaran pinjaman PTPTN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Saifullah Baiduri berkata keputusan itu adalah tepat berdasarkan kepada situasi dan perkembangan semasa wabak pandemik Covid-19 di Malaysia.

- Advertisement -

“Melihat kepada perkembangan semasa pandemik Covid-19, ternyata langkah ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada keadaan semasa masyarakat yang sedang bergelut dengan implikasi langkah pencegahan penularan pandemik

“Perkara ini (PTPTN) antara tumpuan penting Gamis selepas perjuangan panjang melindungi kepentingan mahasiswa dan graduan khususnya, yang bergelut dengan bebanan hutang dalam keadaan tiada sumber pendapatan selepas bergraduasi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, Gamis komited untuk bekerjasama rapat dengan KPT dan pihak PTPTN untuk menghasilkan solusi yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, graduan muda dan kerajaan.

Selasa lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad semasa sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember ini.

Peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.- HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -