PRK N.23 Chini: PAS bantu menangkan calon

chini
- Advertisement -

WAKIL HarakahDaily Pahang, USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL dalam ‘Edisi 5 Soalan Terjah YB PAS’ telah bertanya ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak. ADUN itu yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Maran ditanya mengenai PRK N.23 DUN Chini.

- Advertisement -

HARAKAHDAILY: PAS tidak rasa janggalkah berkempen untuk calon Umno. Dulu lawan mati-matian, sekarang turun berkempen?
USTAZ MUJIBUR RAHMAN ISHAK: Kerjasama antara dua parti besar orang Melayu dan umat Islam ini tercetus setelah Pakatan Harapan memenangi PRU 2018. Setelah mereka berada di tampuk kuasa, ada beberapa perkara yang menjadi kebimbangan umat Islam. Lantas lahirlah permuafakatan yang dinamakan sebagai Muafakat Nasional.

Menerusi piagam muafakat ini, kita bersetuju dan bekerjasama atas dasar memelihara keluhuran Perlembagaan yang menjamin agama Islam sebagai agama negara, menjamin hak istimewa orang Melayu di samping menjaga kepentingan bangsa-bangsa lain, kedudukan Bahasa Melayu dan sebagainya.

Atas agenda ini, PAS tidak janggal untuk membantu Umno dalam pilihan raya ini. PAS juga mengambil peluang menyampaikan mesej dakwah menerusi kempen-kempen pilihan raya.

Mereka kata, “PAS diperkudakan oleh Umno. PAS tongkat Umno. Semua PRK sebelum ni Umno bertanding, PAS hanya tukang sorak. Tak dapat 1 kerusi pun.” Apa komen YB?
PAS ada ahlinya, Umno ada ahlinya. PAS cukup matang dalam bekerjasama. PAS pernah bekerja sama dengan Semangat 46 dan DAP. Perjuangan PAS adalah jelas, iaitu agenda menegakkan Islam. Justeru sesiapa sahaja yang boleh menerima dasar perjuangan ini, maka PAS bersedia bekerjasama.

Dalam konteks hari ini, Umno boleh menerima perjuangan PAS. Bahkan Persidangan Agung Umno baru-baru ini membuat pindaan perlembagaan parti mereka untuk disesuaikan dengan perjuangan Islam. Maka tidak timbul soal siapa perkudakan siapa.

Umno kelihatan pasti menang, buat apa kempen lagi?
Dengan kerjasama PAS dan Umno, kelihatan calon Umno hampir pasti akan menang. Tapi kita mahu menang dengan majoriti yang lebih besar. Berdasarkan PRU14, Umno ada sokongan sekitar 10,000 dan PAS ada 5,000. Di situ sudah ada 15,000. Tetapi kita mahu kemenangan dengan angka yang lebih dari itu lagi.

Apakah kelayakan dan keistimewaan calon yang ditawarkan oleh Muafakat Nasional berbanding calon-calon bebas?
Kita melihat majoriti pengundi di DUN Chini adalah anak muda. Justeru kita tawarkan calon yang bukan sahaja muda, tetapi sememangnya terlibat aktif dalam organisasi belia. Calon kita adalah Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan.

Harapan dari YB mewakili PAS kepada para pengundi di DUN Chini?
Saya mengharapkan semua pengundi di DUN Chini dapat memberikan undi kepada calon kita dan memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional. Saya juga mengharapkan agar kita akan mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar insya-Allah. – HARAKAHDAILY 29/6/2020

- Advertisement -