Lantikan politik untuk dapat sokongan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan ke dalam syarikat kaitan kerajaan (GLC) dalam kalangan individu dari parti politik khususnya selaku Pengerusi adalah adalah tertakluk kepada kuasa diperuntukan kepada Perdana Menteri.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sebagaimana banyak pihak melihat Tan Sri Muhyiddin telah melakukan tindakan terbaik menangani COVID-19, beliau percaya perkara sama dilakukan dalam hal pelantikan tersebut.

Akuinya, beliau melihat pelantikan dibuat hampir selari dengan pendirian terbuka dinyatakan pihaknya mengenai garis panduan, tatacara atau kriteria pelantikan terpenting iaitulah al-Qawiyyul Amin sebagaimana disebut al-Quran.

Penegasan tersebut dinyatakan beliau dalam Sinar Live: Bukan Cakap Kosong membincangkan tajuk “Mana Suara Lantang PAS” secara siaran langsung atas talian bersama Sinar Harian, petang semalam.

Jelasnya, al-Qawiy bermaksud kuat yakni dari sudut kompetensi dan kepakaran dalam mengurus, manakala al-Amin merujuk berintegriti di mana kriteria itu dilihat telah diambil kira oleh Perdana Menteri.

“(Lantikan dibuat itu) kalau nak jadi Menteri, dia mesti bebas daripada SPRM dan juga daripada PDRM. Maknanya tidak ada rasuah, kes rasuah, ataupun tidak ada kes jenayah,” ujarnya juga merujuk mengenai lantikan GLC itu.

Katanya, lantikan berkenaan juga tidak boleh dilihat semata-mata pada latar belakang kepartian, tetapi juga terdapat antara mereka itu telah punyai pengalaman di mana terdapat pernah menjadi Menteri Kabinet.

“Jadi, maknanya kalau mereka boleh mengurus negara pada waktu itu, tak kan mereka tidak boleh mengurus sebuah organisasi yang kecil yang dinamakan sebagai GLC ataupun agensi kerajaan?” wacananya.

Beliau juga menghurai mengenai indeks pencapaian utama (KPI) yang ditetapkan tentunya perlu diraih dari lantikan dibuat, sekali gus jika ia gagal memenuhi maka pertukaran berhak dibuat.

Ir Khairil menyeru setiap dakwaan berkaitan skandal dan penyelewengan mesti dibuktikan serta dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan secara profesional mengikut undang-undang.

‘Dedak’ suapan?

Beliau turut menyangkal bahawa pelantikan jawatan-jawatan yang dibuat merupakan sesuatu bertujuan mempengaruhi untuk memihak atau diistilahkan dengan ‘dedak’ bermaksud suapan berunsur rasuah.

Sebaliknya ajak jurutera profesional ini, perlu adil dengan melihat latarbelakang dan kepakaran, serta pencapaian dilaksanakan oleh individu dilantik itu selain peranan pemantauan ke atas mereka.

Ir Khairil merujuk pemantauan itu sepertimana Badan Hisbah diwujudkan oleh PAS yang akan melakukan audit selia atas kemampuan setiap lantikan, selain daripada Majlis Penasihat untuk tujuan sama.

Katanya, beliau mengalu-alukan sikap kritikal netizen yang diakui menjadi peranan dalam ‘semak dan imbang’, namun mengingatkan supaya tidak berlaku persepsi, tuduhan dan fitnah. – HARAKAHDAILY 25/6/2020

- Advertisement -