PRK DUN Chini: Tamatnya riwayat PH

- Advertisement -

DI MEDIA sosial khususnya mereka bertempik seakan mereka cukup berpengaruh dan memiliki kekuatan merobohkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan. Saban hari portal-portal berita pro mereka memuat naik berita berkenaan peralihan kuasa kerajaan selain isu bakal Perdana Menteri (PM).

Mereka mahu mencipta persepsi seolah mereka terus mendapat sokongan rakyat jelata dan bahawa mana yang selain mereka semuanya lemah, melukut di tepi gantang, tidak sah, pintu belakang dan sebagainya.

Bagi mereka yang terpedaya seolah percaya Pakatan Harapan (PH) bakal berkuasa semula dalam waktu terdekat. Anwar atau barangkali Tun Dr Mahathir akan kembali menjadi Perdana Menteri dan semua yang dari PN akan terlucut jawatan dan kembali duduk di bangku pembangkang.

- Advertisement -

Itu persepsi yang mahu mereka bina, tetapi realitinya? Jika benar PH masih kukuh dan popular sebagaimana ia canangkan, pasti ia akan terus disokong rakyat di mana jua gelanggang. Masalahnya mengapa PH tidak bertanding dan mengemukakan calon dalam PKR DUN Chini?

Dalam PRU ke-14 lalu, calon PKR di Chini hilang wang pertaruhan apabila memperolehi hanya 1,065 undi dari 16,798 yang keluar mengundi iaitu kurang dari satu perlapan.

Adakah kerana pengalaman hilang wang pertaruhan maka PH gentar untuk meletakkan calon kerana tidak sanggup kalah teruk lagi? Ini sudah pasti bertentangan dengan gembar-gembur yang kononnya mereka gagah dan popular dan memperolehi mandat rakyat.

Mengapa gentar di Chini? Mungkin juga mereka mahu beri alasan yang Chini terletak dalam kawasan Parlimen Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Parlimen Pekan, kubu kuat Umno.

Tetapi jika benar gagah dan popular, sepatutnya campak ke mana pun PH boleh menang. Dulu semasa PRU14 Negeri Johor merupakan kubu kuat Umno-BN, namun PH dapat menang. Bekas MB Johor Khalid Nordin ditewaskan di Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas, lalu mengapa di DUN Chini PH menikus?

Takkanlah PH tiba-tiba gentar dan gugup menghadapi Datuk Seri Najib, bukankah kerajaan beliau pun berjaya PH tawan di Putrajaya dahulu? Macam-macam label dihamburkan pada Najib, takkan Najib hari ini lebih popular dari Anwar atau Tun?

Sesungguhnya keengganan PH meletakkan calon di DUN Chini membuktikan yang gegak-gempita kononnya mereka bakal merampas kuasa di Putrajaya semuanya kosong dan bohong belaka. Kegagalan meletakkan calon di Chini sebenarnya menandakan PH telah goyang dan bakal runtuh tidak seperti pasca PRU14 lalu.

Hari ini setelah hilang kuasa mereka semakin bercakaran sesama sendiri, dan jika bertanding dan terus hilang wang pertaruhan di Chini pula maka tamatlah riwayat mereka. Mereka sedaya mungkin mahu mengelakkan PH mati mengejut. Kerana mahu memaksa jasadnya terus hidup dan bernyawa maka PH lari dari Chini, tak tahulah berapa lama boleh kekal bernyawa. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/6/2020

- Advertisement -