100 hari pasca kejatuhan PH

- Advertisement -

RAKYAT Malaysia kebanyakannya bercakap mengenai 100 hari kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengemudi negara. Pada majoriti rakyat, mereka meratib-ratib akan pencapaian barisan peneraju negara. Ternyata ia sangat membanggakan, tidak menghampakan harapan menggunung marhaen bagi melihat negara dipacu ke arah kedudukan yang lebih stabil. Lucu, kerana rakyat mula memberi gelaran-gelaran manja kasih sayang, Tok Abah, Ayah Long, bagaikan keluarga bahagia kepada pimpinan negara.

Tetapi saya, mungkin agak melawan arus. Saya mahu melihat dari sudut pandang yang berbeza. Bukanlah niat untuk mengganggu kegembiraan rakyat, tetapi kadang kala, menongkah arus ini boleh memberikan sisi yang lebih menarik berbanding kita berdiri statik pada posisi sama atau lazim. Bak kata orang, sesekali menukar selera, apa salahnya, melihat objek itu dalam bentuk banyak dimensi. Pasti menarik.

Setelah dibadai ribut yang meruntuhkan empayar PH, kira-kira 100 hari yang lalu, ada beberapa peristiwa yang menarik, menghiasi kanvas politik negara kita. Warna-warnanya sangat berbagai, menceriakan pandangan mata. Namun, motif kepada lukisan politik PH itu tetap sama. Ianya hanya berkisar kepada siapa yang mesti jadi Perdana Menteri (PM) antara Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar yang akhirnya, akan dapat kepada Tun.

Tak ubah seperti jalan cerita dalam filem Hindustan, stereotaip. Ia sama sahaja, mudah dibaca, tetapi tetap ditonton, ditangisi oleh peminatnya terutama wanita, walaupun tidaklah mereka memahami patah kata yang diucapkan. Namun kepuasan menatap wajah hero yang kacak serta pasangannya cantik jelita dan tidak lupa juga lagu-lagu meralitkan perasaan, menjadikan penonton dalam kecanduan.

- Advertisement -

Berkisar mengenai cinta terhalang antara si miskin dan si kaya. Penjahat yang datang pada pertengahan cerita, membelasah hero. Hero terselamat, kemudiannya hero akan membalas dendam, melepaskan golongan tertindas dari cengkaman si jahat yang hodoh itu. Pada akhirnya, wira akan menang, disanjung. Sementara itu, sempat juga si wira mengorat, bernyanyi, menukar baju ketika menyanyi di taman bunga.

Begitulah cerita PH. Setelah begitu marah kepada Tun, mereka kemudiannya bersetuju untuk menaikkan semula nama Tun sebagai calon PM dari pakatan mereka. Betapa tingginya benci mereka kepada Tun, tidaklah mengurangkan kasih sayang mereka kepada beliau. Betapa beronarnya Tun, tetaplah beliau dimaafi. Buatlah apa sahaja, sehinggakan meruntuhkan kerajaan mereka sendiri pun, tiada dimarahinya. Tidak pernah merasa puas diperbodohkan oleh Tun. Mereka menunggu dan menunggu lagi.

Tidaklah pelik pada fikiran rakyat yang Tun selalu menang. Ia adalah kerana sifat tamak haloba dan lemahnya jiwa manusia apabila tanpa segan silu memperlihatkan perlumbaan atau sasaran politiknya hanyalah untuk menjadi orang nombor satu negara. Akibatnya, seseorang itu akan menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Dari dahulu sehingga sekarang, apa perubahannya yang rakyat lihat? Tiada.

Kekalahan PH ini juga dapat dilihat dari sudut positif yang lain. DAP sudah mula bercakap atau menggunakan istilah-istilah Islamik seperti ‘amar makruf nahi munkar’ ‘ilahi’ dan banyak lagi. Mereka tak ubah seperti pesalah-pesalah mahkamah lain. Apabila ditangkap dan dibicarakan, mereka akan mula tutup muka, memakai kopiah, tudung dan sebagainya, sebagai tanda insaf, tunjuk baik. Tetapi tidak semudah itu rakyat melupakan 22 bulan yang menggigit, ketika mereka tidak berkopiah, bertudung.

Selepas mereka kalah juga, rakyat turut dapat melihat para mantan Menteri mereka itu mula menggunakan semula media sosial yang dahulunya ketika mereka berpangkat, menganggap pengguna media sosial ini ‘low class’, ‘not my level’ kata mereka. Ada juga antara mereka yang sudah cuba mencari populariti dengan mengandar buah petai. Ada juga ustaz PH yang menjadi ‘Papa Zola’ tidak suka nasyid, tapi lebih meminati Boney M.

Timbul pula sekarang cerita mengenai bagaimana bekas Peguam Negara dikatakan ditawarkan untuk membantu seseorang bagi mengenakan Dato’ Seri Najib, setelah lama beliau berdiam diri. Kita tetap mengatakan apa-apa pertuduhan, ia mesti dibuktikan di mahkamah. Prinsip ini jelas, tiada berubah. Tidak perlu disensasikan di media. Tetapi harapnya tidaklah menjadi punca kemarahan penyokong PH kalau saya sekadar berkata, kalau PH betul, samanlah Tan Sri Apandi. Sekadar mengulangi apa yang PH kata dahulu.

Mereka membantah akan pelepasan Tan Sri Musa Aman dari puluhan pertuduhan. Ya sekali lagi prinsip kita tegas, jangan dibiarkan yang bersalah lepas bebas, jika benar bersalah. Tetapi apa pula komen mereka dengan kes LGE di mahkamah dahulu? Kes yang saling tak tumpah dengan kes Khir Toyo dan beliau dihukum. Apakah sudah pasti LGE tidak bersalah yang mana beliau lepas? Dan kemudian selepas itu, ada pula dakwaan LGE meminta akaun beberapa individu yang dibekukan, diaktifkan semula. Kenapa diam?

Jika COVID-19 dikatakan telah membawa dunia kembali kepada keadaan semulajadinya, merawat alam, maka kekalahan PH ini tak ubah seperti itu juga. Malaysia dirawat sepenuhnya dari kejahatan PH. Mereka berbohong kepada rakyat, kemudiannya cuba mengubah mengatakan pembohongan mereka itu sebagai kebenaran. Dan sekarang kita telah keluar dari kepompong penipuan mereka.

Seusai menang PRU dahulu mereka mendakwa bahawa mereka telah membuang khurafat yang menjadi saka kepada rakyat Malaysia, iaitu kepercayaan bahawa BN sahaja yang boleh memerintah. Ya saya bersetuju dengan itu kerana PAS telah membuktikannya dalam banyak perkara, Kerajaan PAS adalah yang terbaik dari sudut integriti. Dan sekarang PAS dan BN serta BERSATU mahu juga menghapuskan tahyul kepada iktikad bahawa kafir yang amanah lebih baik dari Muslim korup oleh PH.

100 hari bebas dari pemerintahan PH, diibaratkan bagai terlepas dari cengkaman yang menyakitkan. Ia mengembalikan negara kepada keadaan yang lebih baik. Dan juga mengembalikan PH kepada wajah asal mereka iaitu hanyalah satu pasukan yang sentiasa cuba mengaburi mata rakyat bagi merebut jawatan. Fitnah sebelum PRU dahulu, kini dibangunkan semula oleh mereka. Memang itulah wajah sebenar PH.

Pembelitan lidah mereka, kini diteruskan dengan berbagai dakwaan kotor kepada Kerajaan PN. Sedangkan penjatuh kerajaan mereka dahulu ialah Tun Mahathir. Mereka tidak tahu malu, walau sudah ramai rakyat yang mengibaratkan Malaysia tanpa PH bagaikan kebun tanpa khinzir. Begitulah perkataan-perkataan yang buruk diberikan kepada mereka. Berbanding dengan gelaran manja yang saya sebutkan pada permulaan tulisan ini kepada jamaah Menteri sekarang. Tidakkah kita rasa amat jauh bezanya sayang itu.

Nikmatilah 100 hari yang mengujakan ini. Insya-Allah, kita tidak mahu spesis PH ini bertapak apatah lagi kembali menjadi kerajaan. Kejayaan PN dalam mengatasi wabak, melalui pengurusan ekonomi, keselamatan rakyat dan sebagainya adalah sesuatu yang membanggakan. Tetapi menewaskan PH adalah kemuncak kegembiraan rakyat Malaysia.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 11/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -