Pertembungan US – China masuki fasa baharu

- Advertisement -

SAAT ini dunia sedang bergelut menghadapi penularan hebat wabak COVID-19 dengan angka jangkitan mencecah 221,268 kes dan hampir 9,000 kematian dicatatkan setakat ini. Setiap negara di dunia sedang berusaha keras untuk mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak dan menjangkiti penduduknya termasuklah Amerika Syarikat dan juga China di mana ianya bermula dan dikesan penularannya.

Walaupun berada di saat genting untuk menghalang penularan wabak COVID-19 di kalangan penduduknya, ia tidak menghentikan mahupun menghalang Amerika Syarikat dan China daripada bertembung untuk mendominasi geopolitik dunia sama ada dari sudut ekonomi, kuasa mahupun propaganda media-media mereka.

Mungkin ramai di kalangan penduduk dunia saat ini lebih menumpukan kepada wabak COVID-19 dan bagaimana untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti sehingga kurang mengambil berat mengenai apa yang berlaku dalam pertembungan geopolitik dunia tetapi itu tidak menghalang Amerika Syarikat mahupun China daripada meneruskan agenda masing-masing dalam menguasai serta mengukuhkan tapak masing-masing sebagai kuasa besar dunia.

- Advertisement -

Media alat propaganda kuasa besar dunia

Media memainkan peranan besar dalam usaha untuk mengekalkan pengaruh mahupun naratif cerita yang memihak kepada kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China. Pertembungan Amerika Syarikat-China sampai ke kemuncak apabila Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. Semenjak itu, baik Donald Trump mahupun Amerika Syarikat telah mengenakan pelbagai sekatan dan halangan baik terhadap China mahupun syarikat yang berasal dari China.

Huawei sebagai contoh telah dikenakan pelbagai sekatan dan halangan sama ada untuk memasarkan produk mereka mahupun membeli alatan daripada pembekal di Amerika Syarikat. Anak kepada Pengerusi dan Pengasas Huawei, Meng Wanzhou telah ditangkap di Kanada atas arahan Amerika Syarikat untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan memanipulasi pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk berdagang dengan syarikat Iran.

Namun apabila kita membaca dan melihat propaganda kebanyakan media Amerika Syarikat, kita dapat lihat saat itu media-media terbabit memainkan naratif bahayanya Huawei kepada keselamatan Amerika Syarikat terutamanya berkaitan perkakasan telekomunikasi spektrum 5G. Peralatan Huawei dikatakan dipasang alat intipan untuk mengintip Amerika Syarikat serta melakukan ‘Espionage’ untuk Kerajaan China.

Maka untuk mendapatkan sokongan rakyat Amerika Syarikat, Huawei digambarkan oleh media dan pentadbiran Amerika Syarikat sebagai berbahaya dan boleh menjejaskan keselamatan Amerika Syarikat. Maka apabila melihat sokongan rakyat Amerika Syarikat semakin banyak, media Amerika Syarikat sekali lagi menekan pentadbiran Donald Trump menggubal undang-undang untuk menghalang Huawei daripada beroperasi secara meluas di Amerika Syarikat.

Trade war atau perang perdagangan antara Amerika Syarikat – China adalah di antara contoh lain bagaimana media digunakan untuk memanipulasi keadaan untuk kepentingan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. Media Amerika Syarikat, Donald Trump dan pentadbirannya telah mencetuskan naratif berat sebelah apabila menggambarkan bahawa perdagangan antara Amerika Syarikat dan China tidak adil dan hanya menguntungkan China.

Ulangan naratif tersebut telah memberikan Donald Trump kelebihan untuk mengenakan tarif percukaian yang lebih tinggi untuk melindungi industri perusahaan dan pertanian Amerika Syarikat. Ia sekali gus dapat menutup kelemahan Donald Trump dalam mengurus ekonomi Amerika Syarikat. Tidak sahaja Amerika Syarikat, China juga tidak terkecuali menggunakan media di bawah kawalannya untuk melemparkan naratif buruk terhadap Amerika Syarikat.

Media-media di China menggambarkan Donald Trump sebagai pembuli dan bersikap tidak adil terhadap China untuk menaikkan sentimen rakyatnya. Setelah berjaya menaikkan sentimen rakyat untuk menyokong pentadbiran China dan tindakan Presiden China Xin Jinping, China pula mengenakan tarif percukaian yang tinggi terhadap import dari Amerika Syarikat. Barangan pertanian dari Amerika Syarikat dihalang untuk memasuki China.

Apa yang boleh dirumuskan saat ini ialah media kedua-dua buah negara memainkan peranan penting untuk membentuk naratif bagi menyokong tindakan negara masing-masing untuk mendapatkan sokongan rakyat mahupun negara-negara sekutu mereka. Saat ini baik ‘Trade War’ mahupun isu Huawei masih tidak nampak jalan penyelesaian dan media kedua-dua buah negara masih menyerang di antara satu sama lain.

Bagaimana pun nasib tidak baik dan buruk lebih tertumpu ke arah Donald Trump dan Amerika Syarikat berbanding China dan Xin Jinping. Walaupun media Amerika Syarikat terutamanya rangkaian media milik Fox dan akhbar seperti National Inquirer menyokong Donald Trump sepenuhnya, Donald Trump berdepan dengan masa depan gelap berikutan terpalit dengan pelbagai skandal seperti skandal Ukraine dan penyiasatan Robert Muller ke atas campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016.

Keadaan menjadi lebih buruk untuk Donald Trump apabila wabak COVID-19 mula melanda Amerika Syarikat. Perbendaharaan Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah hingga hampir kepada 0 peratus untuk menampung pertumbuhan ekonomi perlahan akibat COVID-19 sekali gus menafikan kecemerlangan ekonomi yang dibanggakan beliau. Donald Trump turut dikritik hebat akibat kegagalan beliau menangani wabak COVID-19 yang mula merebak di Amerika Syarikat.

Donald Trump yang terkenal dengan kontroversi dan suka meraih publisiti untuk kepentingan politiknya sekali lagi menjadikan China sebagai mangsa untuk mendapatkan sokongan rakyat di kala Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat semakin hampir. Di kala Joe Biden hampir pasti menjadi calon parti Demokrat untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2020, Donald Trump sudah tentunya berdepan masalah besar untuk meraih sokongan pengundi Amerika Syarikat.

Untuk mengekang publisiti buruk yang mampu merencatkan peluang beliau memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pentadbirannya telah mengetatkan syarat-syarat operasi dan mengehadkan akses kepada 5 media utama China iaitu Xinhua News Agency, China Global Television Network atau CGTN, China Radio International, The China Daily dan The People’s Daily. Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan Kerajaan China.

Ramai penganalisa politik Antarabangsa berpendapat bahawa tindakan Donald Trump dan pentadbirannya adalah untuk mengalihkan perhatian umum terhadap kelemahan pentadbiran dan skandal yang membabitkannya. Selain dari itu ia juga bertujuan untuk mengekang pengaruh China yang semakin berkembang di seluruh dunia dan menjadikan China kambing hitam untuk meraih lebih banyak sokongan rakyatnya di kala Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat semakin hampir.

Lebih memburukkan keadaan, baru-baru ini Donald Trump menambah kemarahan China apabila menamakan secara umum wabak COVID-19 sebagai Chinese Virus. Ternyata taktik Donald Trump kali ini menurut penganalisa politik Antarabangsa sebagai memakan diri beliau sendiri kerana bukan sahaja China malah dunia turut mengutuk tindakan Donald Trump yang menamakan COVID-19 sebagai Chinese Virus. Malah majoriti rakyat Amerika Syarikat turut mengutuk tindakan Donald Trump.

China tidak menunggu lama untuk bertindak balas. Kelmarin Kerajaan China mengumumkan akan mengusir 13 wartawan daripada 3 media utama Amerika Syarikat tidak lama lagi iaitu The New York Times, Washington Post dan The Wall Street Journal. Tindakan China itu dilihat lebih menguntungkan mereka kerana ketiga-tiga media tersebut adalah pengkritik Donald Trump yang sudah tentunya akan menyebabkan media-media tersebut menyerang Donald Trump akibat tindakan pengusiran China ke atas wartawannya yang berpunca daripada tindakan Donald Trump.

Kerajaan China dalam kenyataan rasmi secara terang menyebut bahawa tindakan mereka mengusir wartawan-wartawan tersebut adalah tindak balas terhadap penindasan tidak munasabah pentadbiran Amerika Syarikat terhadap media China di Amerika Syarikat. Rata-rata media Antarabangsa melihat pertembungan baru ini sebagai penanda aras geopolitik Antarabangsa selepas berakhirnya COVID-19 sama ada akan dikuasai oleh Amerika Syarikat, China mahupun Rusia.

Namun saat ini, ramai yang berpendapat bahawa Donald Trump berada dalam kedudukan yang sukar untuk mempertahankan jawatannya dalam Pilihan Raya Presiden November ini. Sekutu-sekutu rapat Amerika Syarikat di seluruh dunia mula menjauhi Amerika Syarikat dan meminggirkan diri daripada Donald Trump. Media-media di Amerika Syarikat termasuk media Antarabangsa saat ini menjadi pengkritik utama Amerika Syarikat dan Donald Trump.

Sebaliknya China mempunyai kelebihan besar berbanding Amerika Syarikat saat ini kerana gambaran bahawa China adalah mangsa akibat sikap unilateral Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengekalkan pengaruhnya sebagai kuasa besar dunia berjaya dipotretkan oleh media China di peringkat Antarabangsa. Amerika Syarikat pula berjaya digambarkan oleh media-media China di peringkat Antarabangsa sebagai zalim, tidak adil dan mementingkan diri sendiri.

Ramai penganalisa politik berpendapat kesilapan utama Donald Trump ialah sikap permusuhan beliau dengan media mainstream Amerika Syarikat seperti CNN, ABC, MSNBC, Washington Post dan The New York Times sejak menjadi Presiden Amerika Syarikat. Walaupun rangkaian media milik Fox menjadi pendukung tegar beliau, itu tidak cukup untuk menampung kekurangan mahupun serangan media-media utama Amerika Syarikat terhadap pentadbirannya.

Membandingkannya dengan China, majoriti media utama adalah milik Kerajaan China maka sudah tentu segala naratif dan plot penceritaan adalah mengikut kehendak Kerajaan China yang tentunya memberikan kelebihan kepada Xin Jinping. Apapun, ramai yang khuatir pertembungan baru ini mampu menjejaskan geopolitik dunia apatah lagi jangkaan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi akibat daripada wabak COVID-19 mula diperkatakan.

Jika pertembungan ini berlanjutan dan wabak COVID-19 terus menghantui dunia, ia mampu menjejaskan struktur geopolitik dunia dan berkemungkinan mampu menyebabkan kemelesetan ekonomi di seluruh dunia. China satu sudut telah memperolehi anjakan apabila minggu ini mengisytiharkan tiada lagi kes jangkitan wabak COVID-19 melainkan kes import. Media-media China di peringkat Antarabangsa menggambarkan kemenangan buat China.

China juga mula menghantar bantuan perubatan dan doktor-doktor berpengalaman ke negara-negara yang teruk dilanda wabak COVID-19 seperti di Itali. Gambaran dan naratif media-media China saat ini bahawa China adalah negara penyelamat kepada wabak tersebut di seluruh dunia sehingga langsung menenggelamkan fakta bahawa COVID-19 bermula dari Wuhan, China.

Jelasnya, Donald Trump masih bergelut dengan wabak COVID-19 di negara beliau sendiri malah dikritik hebat kerana kegagalan beliau menanganinya dengan sempurna dan pada mulanya memberitahu penyokong-penyokong kuatnya bahawa COVID-19 adalah ‘Democrat Hoax’. Kali ini, rangkaian media milik Fox dilihat sudah tidak mampu lagi melindungi Donald Trump malah ada kala mengkritik Donald Trump.

Dalam erti kata lain, Donald Trump sudah hampir kalah dan China sudah mula memenangi perang sama ada di media massa mahupun simpati dunia. Begitu hebatnya pengaruh media massa kepada dunia hingga mampu membentuk naratif untuk mengekalkan kepercayaan pendukung mahupun sekutu. Maka tidak hairanlah apabila Amerika Syarikat mahupun China bertindak ke atas media massa lawan masing-masing. Pertembungan terbaru ini bakal menyaksikan perseteruan lebih hebat kedua-dua negara terutamanya ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat hampir dekat dengan November 2020.

*Dunia Islam perlu perkuatkan kekuatan media massa

Selain dari kekuatan ekonomi, peralatan perang dan juga sumber manusia, Dunia Islam harus memperkuatkan media massa untuk membentuk naratif yang betul serta memihak kepada Dunia Islam. Sebagai contoh Islamophobia adalah kegagalan media massa Dunia Islam dalam menangani persepsi buruk terhadap Islam, umatnya dan Dunia Islam. Dunia Islam harus memperkemaskan media massa agar tidak lagi dipandang serong serta mampu membentuk persepsi yang betul terhadap Islam.

Kesepaduan di antara Dunia Islam juga adalah penting untuk menguatkan serta memperkemaskan media massa di kalangan Dunia Islam. Kecelaruan yang dialami oleh Dunia Islam saat ini tampak jelas apabila media massa Dunia Islam bertembung dan tidak memaparkan kesatupaduan dalam menangani persepsi buruk terhadap umat dan Dunia Islam. Kegagalan tersebut semakin jelas apabila isu-isu utama Dunia Islam tidak mampu ditangani bersama.

Di sebaliknya pula, musuh-musuh Islam mempunyai kesatuan dan persamaan yang kukuh dalam usaha untuk menimbulkan naratif dan persepsi buruk terhadap Islam dan Dunia Islam walaupun berbeza ideologi, pendapat dan agama. Saat ini nampaknya dunia lebih didominasi oleh media massa musuh Islam yang setakat ini telah berjaya membuat dunia memusuhi Islam dan umatnya. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

Selagi mana Dunia Islam berpecah belah, berperang sesama sendiri dan hanya mementingkan diri selagi itulah keadaan akan berterusan. Dunia Islam seharusnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar kerana hanya itu sahaja yang mampu mengembalikan kekuatan Dunia Islam dan umatnya. Namun saat ini nampaknya masih banyak negara Dunia Islam leka dengan kekayaan dan kemewahan dunia serta meminggirkan Dunia Islam sendiri.

Semoga Allah S.W.T melindungi umat manusia dari wabak COVID-19 dan malapetaka yang bakal menimpa.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -