Israk Mikraj: Berpaut pada keagungan Allah

- Advertisement -

ISRAK Mikraj: Mustahil ditandingi teknologi moden

Peristiwa agung Israk Mikraj menjadi bukti keagungan kekuasaan Allah S.W.T atas alam ini. Perjalanan jauh menjadi tempoh yang pantas, malah Allah S.W.T membawa naik Rasulullah S.A.W menerobos 7 langit sehingga bertemu dengan Allah di Sidratul Muntaha. Agungnya Israk Mikraj ini dapat dilihat asasnya pada:

(1) Kekuasaan Allah S.W.T mengatasi peraturan alam. Sedangkan manusia perlu akur dengan peraturan alam.

(2) Kemuliaan diberikan kepada Baginda S.A.W dengan ‘pertemuan’ di Sidratul Muntaha di suatu tempat yang Jibrail, penghulu bagi segala malaikat pun tidak mampu dan tidak diizinkan memasuki lapisan berada di Sidratul Muntaha.

Manusia sekalipun mencapai perkembangan kemajuan teknologi moden dari zaman ke zaman, adalah mustahil menandingi peristiwa ini. Sama sekali mustahil bagi manusia untuk berkemampuan dan mencipta kemampuan bagi menyaingi keagungan kekuasaan Allah S.W.T.

Peristiwa agung ini dirakamkan dalam dua surah iaitu ayat pertama Surah al-Isra’ dan ayat 13-18 Surah al-Najm.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِیۤ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَیۡلࣰا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِی بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِیَهُۥ مِنۡ ءَایَـٰتِنَاۤۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡبَصِیرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

[Al-Isra’: 1]

Firman Allah S.W.T:

وَلَقَدۡ رَءَاهُ نَزۡلَةً أُخۡرَىٰ * عِندَ سِدۡرَةِ ٱلۡمُنتَهَىٰ * عِندَهَا جَنَّةُ ٱلۡمَأۡوَىٰۤ * إِذۡ یَغۡشَى ٱلسِّدۡرَةَ مَا یَغۡشَىٰ * مَا زَاغَ ٱلۡبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ * لَقَدۡ رَأَىٰ مِنۡ ءَایَـٰتِ رَبِّهِ ٱلۡكُبۡرَىٰۤ

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibrail, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi ‘Sidratul-Muntaha’, Yang di sisinya terletak Syurga ‘Jannatul-Makwa’. (Nabi Muhammad melihat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ‘Sidratul Muntaha’ itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”

[An-Najm: 13 – 18]

Israk Mikraj: Alam akur pada kuasa Allah

Israk Mikraj menyaksikan Allah ‘tidak terikat’ pada peraturan dan ketetapan sistem alam. Berbeza dengan manusia. Sedangkan Allah pencipta, pemilik dan pengurus sistem alam ini.

Dengan kuasa Allah, alam ini dibuat untuk manfaat kehidupan manusia dan dipermudahkan bagi manusia meneroka dan mengerjakan alam bagi mendapatkan manfaat.

Firman Allah S.W.T:

۞ ٱللَّهُ ٱلَّذِی سَخَّرَ لَكُمُ ٱلۡبَحۡرَ لِتَجۡرِیَ ٱلۡفُلۡكُ فِیهِ بِأَمۡرِهِۦ وَلِتَبۡتَغُوا۟ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ * وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَمَا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا مِّنۡهُۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَتَفَكَّرُونَ

“Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal berlayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur. Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.”

[Al-Jathiyah: 12 – 13]

Sehubungan itu, patut tidak pelik bagi umat Islam jika meletakkan imannya dalam mempercayai peristiwa agung ini. Ia mustahil pada kudrat manusia yang terpaksa akur pada ketetapan dan peraturan sistem alam namun ia tidak begitu bagi Allah S.W.T.

Logik manusia jika kudrat manusia yang bertindak mewujudkan Israk Mikraj memanglah mustahil. Namun iman meletakkan bahawa keteguhan yakin peristiwa agung lagi pelik ini adalah berlaku atas izin, kehendak dan kuasa Allah maka ia tidak mustahil. Pasti percaya sebagaimana percayanya Sayiduna Abu Bakr sehingga diberi gelaran pujian as-Siddiq.

Ucapan Sayiduna Abu Bakr:

وَاللهِ لَئِن كَانَ قَالَهُ لَقَد صَدَقَ، فَمَا يُعجِبُكُم مِن ذَلِكَ؟ فَوَ اللهِ إِنَّهُ لَيُخبِرُنِي أَنَّ الخَبَرَ يَأتِيهِ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرضِ فِي سَاعَةٍ مِن لَيلٍ أَو نَهَارٍ، فَأُصَدِّقُهُ.[22]

“Demi Allah jika saja Baginda S.A.W berkata lebih dari itu pun pasti Baginda mengatakan kebenaran!, maka apa yang menyebabkan kalian merasa hairan dengan itu?, Demi Allah sungguh Baginda S.A.W memberitakan kepadaku bahawa berita tersebut datang dari langit ke bumi dalam satu waktu dari satu malam ataupun siang, maka pasti aku membenarkannya!”.

(Rujuk Sirah Ibn Kathir dan Sirah Ibn Hisyam)

Israk Mikraj: Ketenangan selepas kesedihan bebanan besar

Sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah S.A.W melalui Tahun Kesedihan (عام الحزن) iaitu dalam tahun yang sama berlaku kewafatan Sayidatina Khadijah, isteri tercinta dan juga Abu Talib, bapa saudara. Menjadikan tekanan dari Musyrikin Makkah semakin kuat ke atas Baginda S.A.W dan umat Islam untuk memberhentikan dakwah Baginda S.A.W.

Melihat situasi semasa, Baginda S.A.W bercadang mencari tempat baru yang strategik dan menuju ke Thaif bagi seruan dakwah. Namun, penduduk Thaif menolak dengan keras dan kasar. Budak-budak disuruh baling batu ke Baginda S.A.W untuk halau keluar dari Thaif.

Rintihan Rasulullah S.A.W sewaktu perjalanan pulang, keluar dari Thaif:

اللهُمَّ إِنِّي أَشْكُوْ إِلَيْكَ ضَعْفَ قُوَّتِي وَقِلَّةَ حِيْلَتِي وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا رَبَّ العَالَمَيْنَ ،
أَنْتَ رَبُّ المُسْتَضْعَفِيْنَ ،وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ ،
وَأَنْتَ رَبِّي إِلَى مَنْ تَكِلُنِي ،
إِلَى بَعِيْدٍ يَتَجَهَّمُنِي أَمْ عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي ؟

“Ya Allah! Sesungguhya daku mengadu padamu akan kelemahan upayaku, kurang usahaku dan hinanya aku di kalangan manusia,

“Wahai Tuhan sekalian alam, Engkaulah Tuhan golongan yang lemah, Engkaulah yang Maha Mengasihani, dan Engkaulah Tuhanku,

“Kepada siapa Engkau serahkan aku, di kejauhan aku disisihkan atau kepada musuh yang diberikan kuasa padanya untuk menggagalkan urusanku?”

Maka Israk Mikraj merupakan perjalanan bagi memberikan ketenangan kepada Baginda S.A.W dan juga ketenangan menerusi hadiah kepada Baginda S.A.W dan umat ialah pensyariatan solat fardhu 5 waktu yang diberikan secara langsung pada Baginda S.A.W oleh Allah S.W.T tanpa menerusi Jibrail.

Israk Mikraj: Solat penghubung manusia kepada Allah

Pengajaran besar Israk Mikraj ialah pensyariatan solat fardhu 5 waktu sehari semalam ke atas umat Baginda S.A.W. Solat menjadi hadiah yang diberikan oleh Allah dalam peristiwa agung ini. Signifikan dari solat ialah penghubung hamba kepada Tuhan.

Sebab itu, solat menjadi tempat mengadu dan merintih pada Allah atas bebanan yang sedang dipikul oleh seseorang hamba.

Huzaifah meriwayatkan bahawa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ، صَلَّى

“Adalah Nabi S.A.W jika terdapat urusan yang sukar, Baginda S.A.W akan solat.”

(Riwayat Abu Daud)

Solat menjadi waktu interaksi hamba kepada Allah dalam memohon sebarang pertolongan dan bantuan. Kepada Allah jua diletakkan sepenuh pengharapan dan terus dalam keadaan sabar menerima sesuatu ketetapan dari-Nya.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah: 153)

Solat juga menjadi tempat seorang hamba mendapatkan ketenangan kerana ia waktu antara hamba dengan Tuhannya tanpa diganggu oleh perkara yang lain. Solat adalah berat bagi mereka yang tidak khusyuk. Namun solat adalah ketenangan bagi mereka yang khusyuk dan jiwa yang sudah bersih merasai kelazatan beribadah.

Firman Allah S.W.T:

وَٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِیرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِینَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

[Al-Baqarah: 45]

Salim bin Abu al-Ja’d meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

يا بلالُ أقمِ الصلاةَ، أرِحْنا بها

“Wahai Bilal, dirikan solat (azan solat), kami rehat dengan bersolat.”

(Riwayat Abu Daud)

Israk Mikraj: Penanda hubungan Ummah dengan Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis)

Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti di dalam kitabnya Fiqh al-Sirah menjelaskan antara hikmah diperjalankan Baginda S.A.W dari Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin menjadi penanda hubungan Islam dengan Masjid Aqsa ini. Apatah lagi Allah menyebutkan bahawa Dia memberikan barakah pada Masjidil Aqsa dan sekitarnya.

Masjidil Aqsa tidak hanya melibatkan hak kaum Arab tetapi ia menjadi milik umat Islam. Sebab itu isu yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin dan juga Masjidil Aqsa menjadi kewajipan umat Islam cakna dan pertahankan dari pencerobohan kaum Yahudi Zionis sekarang ini.

Malah Baginda S.A.W menegaskan bahawa akan terus wujud kumpulan dari umat Islam yang berjuang memelihara hak dan kesucian Masjidil Aqsa dan sekitarnya.

Abu Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan senantiasa ada sekelompok umatku yang berada di atas kebenaran, mengalahkan musuh-musuhnya, dan orang-orang yang memusuhi mereka tidak akan mampu menimpakan bahaya terhadap mereka kecuali sedikit musibah semata. Demikianlah keadaannya sampai akhirnya datang urusan Allah.“Wahai Rasulullah, di manakah kelompok tersebut?” tanya para Sahabat. “Mereka berada di Baitul Maqdis dan serambi Baitul Maqdis.”

(Riwayat Ahmad)

Untuk perincian hubung kait dengan Palestin boleh rujuk artikel yang sebelum ini: Islam Dan Palestin di link:
https://www.facebook.com/475905066100435/posts/1041005979590338

Justeru, keagungan Allah terserlah dalam peristiwa agung Israk Mikraj ini. Dialah yang Maha Berkuasa melakukan sesuatu atas kehendak-Nya tanpa ada siapa yang mampu menyekat atau menahan-Nya.

Selaku hamba kita berpaut pada keagungan-Nya dalam memohon sesuatu agar diperkenankan. Sebesar mana musibah yang menjadi bebanan atas kita walau usaha kita sudah buntu namun bagi Allah ia tidak mustahil untuk menghilangkan dengan sekelip mata. Sebagai hamba yang mengabdikan diri, syaratnya ialah sabar dan dirikan solat.

Disedikan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -