‘Otak tak center’

- Advertisement -

UWAIS al-Qarni seorang figura mulia yang pernah dituduh gila atau bahasa sekarang ‘otak tak center’ kerana sesetengah kelakuannya yang dilihat pelik oleh orang biasa. Namun Rasulullah yang tidak pernah bertemu dengannya menjamin syurga kerana ketakwaan beliau. Khalifah Umar menunggu-nunggu ‘orang gila’ itu untuk berjumpa dan memohon Uwais berdoa kepadanya.

- Advertisement -

Manakala seorang lagi tokoh, Abdullah bin Ubay ialah seorang yang waras, kaya, cerdik dan dihormati di Yathrib, telah dipersetujui untuk diangkat menjadi pemimpin di situ oleh kaumnya. Namun, akhirnya jawatan beliau itu tiba-tiba telah diserahkan istilah orang sekarang, dari ‘pintu belakang’ kepada Rasulullah. Kenapa dari pintu belakang?

Kerana wakil penduduk Yathrib yang sepatutnya membuat persiapan bagi pertabalan Abdullah bin Ubay sebagai pemimpin Yathrib, tiba-tiba menukarkan sokongan setelah berjumpa dengan Rasulullah di Makkah dan langsung membuat dua perjanjian Aqabah selepas itu tanpa memaklumkan kepada Abdullah.

Rasulullah sepatutnya tiada nama dalam senarai menjadi pemimpin Madinah, tetapi lebih diyakini keperibadiannya daripada Abdullah. Dan tanpa Abdullah sangka Rasulullah, orang luar Madinah diangkat menjadi ketua. Abdullah menganggap Rasulullah telah merampas hak jawatan itu darinya. Bandingannya seperti, Abdullah bin Ubay sudah amat hampir untuk disahkan ke jawatan tetap dan berpencen.

Dan kerana diturunkan dari jawatan itu, Abdullah bin Ubay bin Salul pun meroyan dan terus meroyan. Berdendam kepada Rasulullah kerana kedudukannya telah dirampas. Apatah lagi Abdullah dianggap kalau di zaman millenium ini sebagai golongan profesional, manakala Rasulullah hanyalah seorang ummiy, iaitu buta huruf. Mungkin boleh diumpamakan pada zaman moden ini, selalulah Abdullah bin Ubay berkokok dalam media sosial, membangkitkan hal kononnya jawatannya telah dirampas.

Padahal penyerahan jawatan kepada Rasulullah itu sah kerana walaupun bukan rakyat Yathrib yang memilih baginda, tetapi ianya melalui wakil-wakil kabilah dari Aus dan Khazraj yang sudah tidak mempercayai Abdullah. Membuatkan Abdulllah bin Ubay membenci Tasulullah sehingga mati. Pernah Abdullah bin Ubay berkhianat menarik seramai 300 orang askarnya ketika perang Uhud, kerana mensabotaj Rasulullah dan menyebabkan Islam terpukul teruk.

Matinya Abdullah ialah sebagai seorang munafik kerana ciri-ciri yang Rasulullah maklumkan seorang munafik antaranya apabila diberi amanah ia khianat, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila berkelahi dia melampaui batas. Bila dia berbohong pula, macam-macam alasan dia berikan.

Abdullah bin Ubay ketika hidupnya juga suka mengata dan memburuk-burukkan Nabi. Dia juga menuduh Rasulullah berbohong. Dan paling jelas, Abdullah mengadakan hubungan baik dengan Musyrikin, Yahudi dan musuh-musuh Islam. Malah sanggup menjadi orang suruhan kafir bagi memusnahkan Islam dari dalam. Abdullah melaksanakan tugasnya itu dengan penuh dedikasi. Pasukan kafir sungguh gembira.

Untuk Abdullah dan rakan-rakannya ada surah khusus yang diberikan dalam al-Quran iaitu surah al-Munafiqun dan ceritanya banyak dan panjang dalam surah at-Taubah, supaya kita mengambil iktibar bagi menjauhinya.

Fuh, hampir sama cerita dengan yang ada zaman sekarang, kan? Nampak tak persamaan dia?

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -