Institusi zakat perlu diberi ‘lesen besar’ (Solusi 4)

- Advertisement -

PENGASINGAN cukai dan zakat

(1) Susulan artikel ‘Harga kereta boleh diturunkan’ yang telah saya tulis sebelum ini, insyaAllah kita akan fahami pula bagaimana konsep percukaian dalam Islam.

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah, zakat merupakan sistem percukaian Islam. Hari ini sistem di Malaysia memecahkan di antara pemungut cukai dan institusi zakat.

(2) Contohnya segala cukai di Malaysia di bawah bidang kuasa LHDN, manakala zakat di bawah Majlis Agama Islam setiap negeri. Begitulah kebiasaannya.

LHDN mengutip pelbagai jenis cukai, dengan kuasa (undang-undang). Sesiapa yang tak bayar cukai, ada akta-akta tertentu yang menjatuhkan hukuman.

(3) Contohnya mereka yang tak membayar cukai taksiran, mengikut Akta 171 boleh menyebabkan barang-barang dalam bangunan tersebut disita.

Ataupun boleh menyebabkan aset tadi dilelong, melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 151. Bayaran waran sebanyak 20 peratus juga akan dikenakan.

(4) Manakala dalam konsep zakat pula, ia seolah-olah hanyalah berdasarkan kerelaan atau kesedaran di kalangan Umat Islam. Kerana akta yang sedia ada seolah-olah ‘boleh dicabar’.

Setakat ini undang-undang sedia ada tidak begitu berkuasa untuk menguatkuasakan pungutan zakat. Menyebabkan ia tak dapat dikutip secara sempurna.

- Advertisement -

Penguatkuasaan zakat

(1) Disebabkan fenomena pengasingan institusi yang disebut tadi, menyebabkan zakat itu seolah-olah terpisah daripada sistem ekonomi negara.

Sedangkan zakat itulah konsep percukaian dalam Islam. Antara gesaan yang Allah S.W.T tegaskan di dalam al-Quran ialah;

ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(al-Hajj: 41)

(2) Institusi Zakat perlu diletakkan selaras dengan kuasa LHDN, kerana kewajipan dalam zakat ada 3 jenis;

(a) Wajib bayar zakat.

(b) Wajib ambil zakat.

(c) Wajib agih zakat.

(3) Kewajipan memungut dan mengagih zakat ialah kewajipan pemerintah. Pemerintah tidak sepatutnya hanya menunggu orang membayar zakat.

Sebaliknya perlu menyuruh, dan memaksa orang untuk membayar zakat. Kalau LHDN pun boleh ‘ligan’ orang untuk bayar cukai, apatah lagi institusi zakat.

Mencari penyelesaian

(1) Perlu ada satu mekanisma untuk ‘membesarkan’ kuasa institusi zakat untuk mengurus segala jenis zakat termasuk percukaian-percukaian yang dituntut dalam Islam.

Mungkin perlu kepada kerjasama, atau ‘separation’ yang perlu difikirkan teknikal itu. Contohnya institusi zakat diberi ‘kuasa penuh’ untuk pergi ke syarikat-syarikat korporat yang ‘liat bayar zakat’.

(2) Walaupun institusi zakat berada di bawah Majlis Agama Islam, pihak kerajaan perlu wujudkan kerjasama, contohnya dari sudut pendataan, dan sebagainya.

Kerap kali apabila kita bincang bab zakat, kita hanya terfokus kepada ‘Zakat wajib diagihkan kepada Asnaf’. Tetapi kita jarang terfikir bahawa kuasa institusi zakat perlu dibesarkan kuasanya untuk memungut.

Contohnya perlu letakkan hukuman yang berat terhadap mana-mana individu yang enggan bayar zakat sepertimana Akta 171, atau Seksyen 151 tadi.

(3) Zakat sering dilihat ia adalah institusi orang Islam. Sedangkan dalam Islam juga ada sistem percukaian lain, selain zakat yang akan dihuraikan dalam artikel lain insyaAllah.

Zakat perlu diwartakan sebagai sistem ekonomi negara. Contohnya pegawai LHDN yang mengutip cukai ‘dilindungi’ oleh undang-undang, antaranya antara peruntukan 116, di bawah ACP 1967.

Iaitu kesalahan mengganggu atau menghalang pegawai LHDNM menjalankan tugas, dikenakan hukuman RM1,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta yang tak cukup kuat

(1) Berdasarkan kertas kerja yang ditulis oleh Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof, Pegawai Penyelidik YAA Hakim Syarie Negeri Melaka menyatakan mengenai beberapa kelemahan.

Iaitu kelemahan yang ketara pada peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan ke atas kewajipan membayar zakat perniagaan.

(2) Di sana terdapat peruntukan undang-undang mengenai kesalahan tidak membayar zakat seperti Seksyen 16 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang menyatakan bahawa;

“Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu Ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

(3) Namun, yang menjadi masalahnya apabila Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 tidak membuat sebarang pentafsiran tentang maksud ‘orang’ sama ada termasuk syarikat atau sebagainya.

Ini menyebabkan ketetapan tadi seolah-olah boleh dicabar sekiranya ada syarikat yang tidak membayar zakat dan dihadapkan ke mahkamah.

Ini juga menampakkan peruntukan tadi bersifat umum dan tidak dikhususkan kepada zakat perniagaan yang menyebabkan terdapat banyak kelemahan padanya.

Perlukan pindaan

(1) Apabila institusi zakat tidak diberi ‘lesen besar’ untuk bertindak tegas dalam proses pungutan zakat, menyebabkan sistem Islam ini kurang dikuatkuasakan.

Sedangkan ia adalah satu institusi terpenting dalam menjana ekonomi negara. Apabila institusi ini tidak diberi lesen besar, menyebabkan ekonomi negara menjadi lemah.

(2) Mungkin undang-undang berkaitan keengganan membayar zakat boleh dibesarkan kuasanya sepertimana yang tergazet dalam percukaian.

Contohnya Seksyen 2 Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan jelas menafsirkan bahawa ‘orang’ adalah termasuk ‘syarikat, kumpulan orang-orang dan perbadanan perseorangan’.

(3) Seksyen 144 dari akta yang sama menyatakan “Mana-mana orang yang dengan sengaja dan dengan niat untuk melarikan atau membantu mana-mana orang lain untuk lari cukai … adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, di atas sabitan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada satu ribu Ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu Ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah membayar suatu penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang telah terkurang dikenakan akibat kesalahan itu atau yang telah terkurang dikenakan jika kesalahan itu tidak dikesan”.

(4) Justeru, kita dapat faham bahawa undang-undang yang agak ketat terhadap mereka yang tidak membayar cukai. Tetapi mereka yang tidak membayar zakat seolah-olah boleh ‘fight’ di mahkamah.

Justeru, untuk memperbaiki ekonomi Malaysia, perlu perkasakan zakat dan percukaian cara Islam. Untuk memperkasakan sistem itu, perlu ‘adjust’ beberapa akta supaya institusi zakat diberi lesen besar.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -