Jangan samakan paradigma Muslim dengan bukan-Muslim

- Advertisement -

REALIGNMENT (penjajaran semula) kerajaan sekarang ini seperti ‘realignment’ tayar kereta. Tujuannya agar tayar kereta kita stabil dan boleh sampai ke destinasi tanpa mengira kedai mana pun yang kita lakukan ‘alignment’ selagi mereka buat kerja dengan baik.

Paradigma pemikiran Muslim pastinya mengutamakan agamanya iaitu Islam. Muslim juga mahukan kestabilan ekonomi, keharmonian dan keamanan di dalam masyarakat. Namun andai agamanya diserang dan diancam, Muslim boleh mengetepikan semua itu agar agamanya tidak diperlekehkan.

Ini tidak bermaksud Muslim menyokong rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa kerana jelas itu adalah dosa besar.

- Advertisement -

Tidak perlu membandingkan paradigma orang tidak beriman dengan orang beriman. Orang beriman paradigma pemikiran dan cara membuat keputusannya berdasarkan al-Quran dan Sunnah sedangkan orang belum-Muslim mempunyai paradigma yang berlainan.

Orang beriman tidak mengizinkan Allah dijisimkan mahupun dijadikan momokan serta menjadikan Nabi sebagai gurauan tetapi mungkin bagi orang tidak beriman mereka merasakan itu tidak begitu penting. Bagi mereka mungkin Nabi malahan tuhan boleh dilakonkan oleh sesiapa dan dijadikan komedi tetapi tidak untuk Muslim.

Orang beriman memikirkan halalan toyyiban serta keberkatan dengan mengikuti perintah Allah dan RasulNya tetapi mungkin orang belum-Muslim memikirkan mana yang lebih murah dan menguntungkan. Maka kedua-dua pihak memiliki proses membuat keputusan yang berbeza.

Buat Muslim, jikalau perlu membuat pilihan antara dua kebaikan, pastinya dia akan memilih yang lebih baik. Begitu juga andai diberikan pilihan mana yang kurang mudarat antara dua mudarat, pastinya dia akan memilih yang paling kurang mudarat khususnya terhadap agamanya.

Semoga Allah S.W.T mengurniakan pemimpin yang baik yang menjaga agama, keamanan serta ekonomi negara. Allahuma Ameen

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 26/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -