Faham pula dia dengan arahan

- Advertisement -

NAMAKAN calon PM atau bubarkan Parlimen. Dua pilihan kepada semua Ahli Parlimen oleh YDPA menurut kata Ahli Parlimen Kuala Krau. Dan sehingga semalam, kita menerima laporan bahawa hanya Tun yang dinamakan sebagai PM.

- Advertisement -

Hari ini, laporan yang lain datang dengan mengatakan bahawa PKR berkemungkinan besar telah mencalonkan DS Anwar sebagai PM kepada YDPA. Ia menjadikan cerita ini lebih menarik kerana hari ini bermulanya perjumpaan YDPA dengan blok PH.

Jika benar, dan Tun menang, maka ianya insya-Allah akan menjadi titik noktah bagi perjalanan politik DS Anwar kerana disebalik rayuan agar Tun kekal sebagai PM, beliau menikam Tun dari belakang. Pasti akan ada harga yang mahal yang perlu dijelaskan.

Dan jika Anwar mendapat sokongan yang banyak, maka berkemungkinan Tun akan mengambil bilik Najib kerana jelas apabila Anwar mencabar, bermaksud dia telah mengisytiharkan perang secara terbuka. Dendam lama beliau sudah menjadi makluman kepada semua.

Manakala sokongan daripada lain-lain Ahli Parlimen, akan segera bertambah kepada Anwar. Tidak perlu membeli, kerana politikus yang kelaparan sangat ramai, kerana takut terpelanting keluar atau takut dikenakan hukuman.

Mufakat Nasional mungkin akan melihat pengkhianatan dari rakan-rakan ahli dengan PAS berkemungkinan besar akan menjadi mangsa keadaan. Insya-Allah Presiden PAS akan mempertahankannya.

Akan tetapi segala ini hanya memperlihatkan kepada rakyat bahawa betapa hipokritnya PKR kerana faham pula mereka dengan kehendak istana untuk melakukan satu di antara dua pilihan yang diberikan.

Berbeza ketika mana mereka diarahkan oleh Istana Selangor untuk menghantar lebih dua nama bagi calon MB Selangor selepas Langkah Kajang dahulu. Mereka ingkar arahan. Sekarang mungkin kerana kena dengan kehendak mereka maka ianya dipenuhi.

Adapun kerana kuasa memutuskan ada dalam genggaman YDPA, maka rakyat yang baik dan ikhlas, mahukan Parlimen dibubarkan kerana rakyat percaya, acara ‘shopping’ besar-besaran akan berlaku terhadap Ahli-ahli Parlimen. Ketika mereka menuduh cubaan menjatuhkan kerajaan melalui ‘pintu belakang’ mereka pula membeli-belah untuk kuasa secara tidak betul.

PAS alhamdulillah telah membuktikan, jutaan ringgit tidaklah lebih celaka dari laknat yang disumpahkan dalam baiah. Sehingga kini testimoninya sudah dapat dilihat tertimpa kepada beberapa individu.

MOHD NASIR ABDULLAH
26 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 26/2/2020

- Advertisement -