Henti menggugat hutan paya gambut

- Advertisement -

SEJAK kebelakangan ini, isu pemansuhan hutan atau mengeluarkan tanah dari Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 930.93 hektar iaitu 97 peratus untuk pembangunan bercampur mendapat bantahan pelbagai pihak. Hal ini kerana, selain tiada kepentingan awam, hutan simpan yang akan dinyahwartakan itu terlalu besar keluasannya.

- Advertisement -

HSKLU merupakan kawasan hutan paya gambut dan penempatan Orang Asli. Berdasarkan data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 2017, hanya 253.45 ribu hektar hutan paya gambut daripada 4.41 juta hektar keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sahaja terdapat di negeri Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Hutan paya gambut memainkan peranan yang penting kepada manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sejagat. Antaranya memelihara ekologi dan kepelbagaian biologi, menyediakan habitat kepada hidupan liar, penahan air dan pencegah banjir, mengelakkan hakisan dan menstabilkan iklim serta sebagai sumber keperluan sosio-ekonomi manusia.

Kini, hutan paya gambut terus diancam tanpa kawalan sama ada untuk pembangunan, pertanian komersial, ladang hutan dan penempatan yang mengakibatkan implikasi yang besar dengan mengubah struktur sebenar hutan paya gambut. Kebanyakkan projek ini tidak menghasilkan pulangan yang diharapkan malah kestabilan dan integriti ekosistem turut terjejas selain meninggalkan kemusnahan yang memberi kesan kepada penduduk setempat.

Disebabkan ketidakfahaman kepada keunikan ekosistem tanah paya gambut selain mengaut keuntungan oleh pihak berkepentingan, pemansuhan hutan atau mengeluarkan tanah dari hutan paya gambut dalam skala yang besar dilihat satu keterlaluan. Perkara ini seharusnya dihentikan serta-merta dengan tindakan yang tegas demi kemaslahatan rakyat sejagat.

Saya melihat pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya gambut perlu ditingkatkan lagi dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dengan melaksanakan Pelan Rancangan Pengurusan Bersepadu Hutan Paya Gambut di setiap negeri secara komprehensif dan konsisten. Sebarang kegiatan yang mengancam hutan paya gambut perlu dibanteras dengan penguatkuasaan dan perkasaan undang-undang berkaitan.

Oleh itu, saya menyarankan sebarang projek pembangunan yang menjejaskan HSK sedia ada dihentikan serta-merta di seluruh negara malah pengurusan hutan paya gambut seharusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa selain memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara hutan paya gambut.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 17/2/2020

- Advertisement -