Minyak sawit: Malaysia perlukan pelan strategik

- Advertisement -

KERAJAAN sewajarnya merangka dan mewujudkan satu perancangan strategik untuk lima tahun akan datang bagi mengatasi ketidakstabilan industri minyak sawit berikutan kemelut dengan India ketika ini.

- Advertisement -

Saya menyambut baik langkah Pakistan untuk meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia sebanyak 141,500 metrik tan pada bulan Januari 2020 berbanding bulan sebelumnya. Ini dilihat sedikit sebanyak dapat menstabilkan kekurangan tekanan terhadap industri minyak sawit Malaysia.

Merujuk laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pakistan membeli minyak sawit Malaysia sebanyak 1.08 ribu metrik tan pada tahun 2019 berbanding India yang import minyak sawit Malaysia sebanyak 4.41 juta metrik tan.

Walaupun Pakistan bersetuju untuk meningkatkan import minyak sawit bagi mengimbangi langkah pembeli utama India yang mengehadkan import dari Malaysia, perkara tersebut belum menjamin industri minyak sawit negara masih berada di kedudukan yang kukuh.

Selain mengekalkan dan meningkatkan nilai eksport minyak sawit ke Pakistan, China dan Turki, Kerajaan juga perlu meneroka pasaran baharu ke negara-negara yang berpotensi seperti Arab Saudi, Afrika dan lain-lain negara dengan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam kepelbagaian produk yang berasaskan makanan dan bukan makanan.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya menyediakan pelan strategik yang lebih komprehensif dalam menghadapi krisis ketidaktentuan global yang dihadapi dalam industri sawit. Keadaan ini bagi menyerap segala ketidaktentuan pasaran global selain meredakan tekanan yang dihadapi industri minyak sawit di mana semakin terjejas sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 11/2/2020

- Advertisement -