Pemuda PAS anjur ‘Madrasah Politik’ bermula 1 Feb

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melalui Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) bakal menganjurkan satu program pendidikan politik Islam yang diberi nama Madrasah Politik. Madrasah Politik mempunyai 4 siri secara keseluruhannya. Siri pertama Madrasah Politik yang bertemakan ‘Pengenalan Politik & Siyasah Syar’iyyah’ akan berlangsung pada 1 Februari nanti.

Anak muda merupakan aset kepemimpinan negara pada masa depan. Terdapat suatu kalam yang begitu masyhur berbunyi;

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Perihal kepemimpinan ini sangat berkait rapat dengan kefahaman politik. Hal ini demikian kerana, seorang negarawan yang tulen sudah pasti tidak dapat dipisahkan daripada kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu kenegaraan.

Di samping itu, suatu hal yang sangat tidak boleh dikesampingkan ialah, politik hendaklah dipandu dengan Islam sebagai sistem yang lengkap dan menyeluruh. Sejarah telah merekodkan betapa pentingnya soal politik atau pemerintahan ini, contohnya dalam soal pelantikan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.

Walaupun pada masa itu, jasad mulia Rasulullah S.A.W masih belum dikebumikan lagi, namun para Sahabat Baginda S.A.W yang telah ditarbiyah secara langsung oleh Baginda S.A.W itu telah mengambil keputusan untuk memutuskan terlebih dahulu siapakah yang akan memimpin Daulah Islamiah pasca ketiadaan Rasulullah S.A.W. Sirah ini menjadi manifestasi terhadap peri pentingnya soal pemilihan pemerintah dalam pengaplikasian kehidupan.

Namun begitu, hari ini kita dapat menyaksikan suatu keresahan yang menerobos ke dalam jiwa dan minda. Betapa sebahagian daripada anak muda hari ini dilihat tidak menunjukkan minat yang sewajarnya terhadap politik, apatah pula hendak memahami dengan baik politik menurut acuan Islam.

Justeru, atas permasalahan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melalui Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) merasa sangat bertanggungjawab dalam mengusahakan kesedaran ini agar setiap daripada kita memperoleh manfaatnya. Madrasah Politik ini telah disusun silibusnya dengan tujuan utama untuk memberikan kefahaman politik Islam secara menyeluruh kepada para peserta. Siri pertama Madrasah Politik yang akan berlangsung pada 1 Februari 2020, bertempat di Dewan Seminar 1, Surau al-Kauthar, Bangi bakal memerihalkan pecahan sub topik seperti berikut:

•     Islam, Politik, dan Idealogi
•     Prinsip Siyasah Syar‘iyyah
•     Sejarah Politik di Malaysia
•     Politik, Ijtihad, dan Maslahah

Semua mahasiswa adalah dijemput untuk mendaftarkan diri. – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -


- Advertisement -