PRK Kimanis: Kerajaan baharu cara lama

- Advertisement -

4 JANUARI 2020 melakarkan satu sejarah dalam arena politik Sabah apabila penamaan calon PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Hj Alamin menentang calon Kerajaan dari Parti Warisan iaitu Datuk Karim Bujang.

Tempoh kempen sepanjang 14 hari diwarnai dengan pelbagai pendekatan oleh kedua-dua pihak. PRK ini juga membuktikan kesepaduan pembangkang apabila seluruh jentera parti-parti pembangkang sama ada dari Sabah dan Semenanjung berpadu tenaga turun berkempen untuk memenangkan calon Barisan Nasional.

Apa yang pasti pembangkang hingga saat ini membuktikan bahawa mereka sedang melalui anjakan paradigma yang besar apabila mampu mengelakkan kempen berbentuk perkauman malah lebih menonjolkan kelemahan Kerajaan dalam mengurus tadbir Sabah serta kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto pilihan raya yang lalu.

Muafakat Nasional yang baru diwujudkan oleh PAS dan Umno menjadi salah satu senjata yang dilihat mampu menggugat peluang calon Warisan untuk memenangi pertandingan ini. Kesepakatan yang ditunjukkan oleh para pemimpin PAS dan Umno agak menggusarkan pihak kerajaan apatah lagi semua pemimpin parti-parti tempatan Sabah seperti PBS dan STAR turut bergabung tenaga dalam kempen pada kali ini.

Tidak hairanlah apabila parti-parti rakan dalam gabungan Kerajaan Warisan atau PH menjadi gusar dan melatah dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan hasutan kepada rakyat.

UPKO melalui Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri membuat kenyataan menghentam PAS sebagai parti rasis walaupun tuduhan itu sama sekali tidak berasas. Malah dalam  beberapa siri PRK yang berlaku selepas PRU-14, PAS tidak pernah meletakkan calon namun parti tersebut sering dijadikan mangsa serangan oleh para pemimpin parti kerajaan.

Yang terakhir sehingga artikel ini ditulis, seorang Senator yang mewakili Sabah dari PAN, Aiman Athirah @ Raj Munni Sabu yang menetap di Semenanjung turut menghentam PAS sebagai tidak relevan berada di Sabah disebabkan parti itu kononnya bersifat perkauman yang sempit.

Pemimpin-pemimpin dari parti kerajaan ini sepatutnya  lebih menumpukan kepada isu bagaimana kerajaan akan membangunkan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak peluang menjana pendapatan kepada rakyat.

Mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa sehingga hari ini kerajaan masih gagal menunaikan janji manifesto untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan kepada para belia dan lepasan sekolah serta universiti.

Kempen-kempen yang berbentuk  perkauman tersebut hanyalah helah bagi mengalih tumpuan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji  pilihan raya mereka. Rakyat era digital ini tidak lagi boleh diperbodohkan dengan isu-isu perkauman sempit yang nyata boleh menggugat kestabilan kaum di negeri yang majmuk dan harmoni ini.

Pihak berkuasa seharusnya tidak berdiam diri dan mesti bertindak untuk menyekat anasir-anasir pemecah belah rakyat dari terus menggunakan kedudukan mereka membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam negara yang tercinta ini.

Nampaknya istilah kerajaan baharu yang diimpikan oleh pengundi PRU-14 hanyalah kosmetik bagi mengelabui rakyat untuk mengekalkan kuasa mereka. Rakyat  hanyalah bidak catur ahli politik orde lama yang kemaruk mengekalkan kuasa demi kelangsungan hayat politik mereka.

Rakyat Kimanis harus membuat pilihan bijak sama ada mahu dijadikan alat politik kerajaan atau menaikkan pembangkang untuk menambah suara mereka di Parlimen. PRK ini harus dijadikan referandum oleh rakyat Kimanis terhadap kegagalan kerajaan selama hampir 2 tahun berkuasa. Hentikan kerajaan baharu cara lama dari terus menipu anda.

ABDUL HISHAM OTHMAN
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
14 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 14/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -